Syabas Dan Tahniah Kepada Ketua Sayap UMNO Yang Terpilih – Zahid

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi mengucapkan tahniah dan syabas di atas kemenangan yang diperolehi oleh semua ketua-ketua baru sayap yang terpilih bagi Pergerakan Wanita UMNO Malaysia, Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan Pergerakan Puteri UMNO Malaysia dalam pemilihan sesi 2018-2021 semalam..

Jelasnya, pemilihan secara terbuka di semua peringkat telah membolehkan setiap ahli UMNO bertanding semua jawatan tanpa ada sebarang sekatan.

“Keterbukaan pemilihan tanpa syarat tertentu yang diputuskan oleh UMNO baru-baru adalah ‘mother of all democracy’ dalam sejarah pemilihan UMNO sejak 1988. Ini memaparkan UMNO kini lebih terbuka, demokratik dan inklusif yang membolehkan lebih 165,000 perwakilan membuat pilihan.

“Inilah pembaharuan UMNO sekarang. Inilah langkah pertama menuju pembaharuan agar parti terus relevan dalam pentas politik tanah air,” ujarnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Justeru, Zahid menyeru agar yang terpilih dan yang tidak terpilih, untuk terus bersama-sama menterjemahkan semangat ‘UMNO Bangkit’ yang telah dilaungkan sebagai slogan bagi menebus kekalahan pada PRU ke 14 yang lalu.

“Perpaduan dan kesatuan matlamat serta pemikiran di kalangan kepimpinan dan ahli UMNO amat penting demi untuk terus menjadikan ini  kukuh dan relevan di hati rakyat, khususnya bangsa Melayu dan Bumiputera.Ibarat aur dengan tebing, kembalilah bersatu demi kepentingan UMNO,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.