Pengumuman Keputusan Pemilihan Sayap UMNO Akan Diumum Ahad, 24 Jun

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Setiausaha Kerja UMNO Malaysia, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pengumuman keputusan muktamad pemilihan sayap-sayap UMNO yang melibatkan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri akan hanya diumumkan esok Ahad, 24 Jun pada pukul lima petang.

Menurut beliau, penangguhan ini ekoran masih banyak lagi bahagian-bahagian yang masih belum selesai mengadakan pengiraan undi memandangkan ada diantaranya yang mengadakan mesyuarat di sebelah malam.

“Antara bahagian yang masih belum selesai bermesyuarat ialah di Perlis (1), Kedah (6), Perak (6), Selangor (6), Wilayah Persekutuan (10), Negeri Sembilan (4), Melaka (2), Johor (1), Pahang (6), Terengganu (2) dan Kelantan (6) dan Sabah (6) iaitu berjumlah sebanyak 56 bahagian lagi yang masih belum selesai keseluruhannya.

“Justeru, keputusan pemilihan sayap-sayap ini terpaksa ditangguhkan pada esok (Ahad) dan kita akan mengadakan sidang akhbar bagi mengumumkan keputusan muktamad pemilihan sayap-sayap UMNO ini pada pukul lima petang esok,” ujarnya dalam satu sidang akhbar di Bangunan Dato Onn di sini hari ini.

Tambah Rauf, setakat ini bahagian-bahagian yang telah menghantar keputusan rasmi pemilihan baru berada di tahap 45 peratus daripada 191 bahagian UMNO di seluruh negara.

“Apa juga maklumat mengenai keputusan yang diterima melalui media sosial adalah laporan yang tidak rasmi dan laporan rasmi mengenai keputusan pemilihan ini hanya akan dikeluarkan oleh Ibu Pejabat UMNO pada pukul lima petang esok,” ujarnya.-MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.