Budaya Baru Pemilihan UMNO Kali Ini Sangat Positif dan Konstruktif Tanpa Unsur Negatif

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru, Datuk Dr.Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa pemilihan sayap parti UMNO pada kali ini telah menzahirkan satu perspektif yang baru terhadap budaya pemilihan UMNO yang sangat positif.

Menurut beliau, secara peribadi ini merupakan kali pertama beliau terlibat dengan pemilihan di peringkat pusat dan menyaksikan sendiri bagaimana pemilihan UMNO kali ini berlangsung dalam suasana pertandingan yang penuh dengan kasih sayang, bersifat kekeluargaan tanpa ada unsur-unsur negatif.

“Kita membawa budaya baru dalam pemilihan kali ini di mana ramai orang bertanya kepada saya, siapa exco-exco pilihan saya dan siapa naib ketua pemuda pilihan saya. Saya katakan bahawa siapa saja naib yang dipilih oleh perwakilan UMNO di seluruh Malaysia, itu adalah naib ketua pilihan saya. Dan hari ini, saudara Syahril Hamdan telah pun terpilih sebagai Naib Ketua Pemuda, maka beliaulah merupakan Naib Ketua Pemuda pilihan saya.

“Begitu juga dengan exco-exco yang dipilih oleh perwakilan, merekalah exco-exco pilihan saya. Ini kerana kita tidak mahu wujud lagi budaya kelompok dalam organisasi. Tidak ada tim A, tim B, Tim C dan sebagainya, kerana pada hari ini kita memerlukan parti ini diperkasakan oleh setiap individu.

“Bagi saya juga, pada pemilihan kali ini buat pertama kali dalam sejarah penawaran diri untuk bertanding jawatan exco-exco termasuklah jawatan Ketua Pemuda dan Naib Ketua Pemuda, jumlahnya agak besar.

“Saya melihat secara positif fenomena ini. Di kala parti tidak ada apa yang mahu ditawarkan kerana kita tidak lagi berkuasa, begitu ramai yang ingin berpatisipasi di mana ia satu perkembangan yang amat konstruktif dan positif,” ujarnya dalam satu sidang media selepas diumumkan sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang baru bertempat di Menara Dato Onn di sini hari ini.

Manakala bagi Ketua Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang baru, Datuk Noraini Ahmad, perkara utama yang akan beliau lakukan adalah untuk merapatkan kembali saf-saf kepimpinan wanita UMNO di semua peringkat.

“Biasalah adat bertanding, memang sedikit sebanyak akan ada perpecahan. Tetapi InsyaAllah di dalam pergerakan Wanita apa yang saya lihat, selepas saja selesai pertandingan segala perpecahan itu akan kembali bertaut erat dan itu adalah perkara pertama yang kita akan lakukan selepas ini.

“Saya juga ingin menyatakan bahawa segala kekuatan yang ada dalam wanita ini merupakan legasi tinggalan Ketua Wanita sebelum ini, Tan Sri Shahrizat Jalil. Kekuatan pergerakan Wanita UMNO yang telah diangkat sebagai tulang belakang UMNO ini telah membolehkan ia sangat digeruni oleh rakan dan lawan.

“Sebab itu, apa yang penting bagi saya dan juga kepimpinan baru kali ini adalah untuk meneruskan legasi tersebut, apatah lagi dalam keadaaan UMNO hari ini bukan lagi memegang tampuk kerajaan, maka ia menjadi satu cabaran yang sangat besar kepada barisan kepimpinan baru Wanita UMNO untuk mengembalikan keyakinan rakyat kepada UMNO,” tegasnya.-MediaUMNO