Shahrizat Rasmi Bersara Politik, Sambut Baik Cadangan Naib Presiden Wanita

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Selepas 39 tahun berkecimpung dalam dunia politik, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil hari ini mengesahkan bersara secara rasmi.

Shahrizat yang ditemui pemberita selepas selesai mengundi pada Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kepong di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, berkata beliau bagaimanapun akan terus bersama parti sebagai anggota biasa.

“Dalam politik, kita mesti tahu bila masanya untuk kita undur diri. Sudah sembilan tahun saya mengetuai Wanita UMNO dan 11 tahun menjadi menteri adalah tempoh yang lama dan amat memuaskan hati.

“Saya harap di bawah ketua baharu, Wanita UMNO akan teruskan perjuangan untuk mengarusperdanakan golongan ini dalam bidang politik,” katanya.

Pada pemilihan kali ini Shahrizat melepaskan semua jawatannya dalam parti.

Dalam pada itu, Shahrizat menyambut baik cadangan calon Presiden UMNO, Khairy Jamaluddin untuk memperkenalkan jawatan naib presiden parti bagi Wanita.

Katanya cadangan itu membuka laluan yang sejajar dengan perjuangan Wanita dalam memperkasa peranan golongan terbabit dalam parti.

Persidangan perwakilan tiga sayap terbabit berlangsung serentak di semua 191 Bahagian hari ini bagi memberi laluan kepada pemilihan pucuk pimpinan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO manakala pemilihan peringkat Bahagian dan Majlis Tertinggi pada 30 Jun ini.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.