Akar Umbi UMNO Lahirkan Harapan Besar Kepada Bakal Pemimpin Sayap

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Mesyuarat dan pemilihan sayap UMNO Wanita, Pemuda dan Puteri yang berlangsung serentak hari ini ternyata mendapat sambutan hangat.

Rata-rata perwakilan yang ditemui melahirkan harapan agar pemimpin yang bakal dipilih kelak akan mampu membawa perubahan untuk UMNO kembali mendapat kepercayaan rakyat khususnya anak muda.

Bagi Syarizzatul Faizura Che Halil, 41, daripada cawangan Pusat Bandar Puchong bahagian Subang, siapa pun yang bakal dipilih untuk menerajui sayap Wanita, ia haruslah mampu membawa sayap ini untuk terus membantu parti ini kembali bangkit. 

“Pemimpin harus berubah dari sikap sebelum ini. Jangan pentingkan diri sendiri… fikirkan masyarakat, fikirkan masa hadapan Melayu dan jangan ada sengketa sesama sendiri.

“Kita harus bangkit dan jangan pedulikan segala kutukan yang ada kerana apa yang penting sekarang ini adalah kita kena pastikan UMNO ini terus bangkit,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Rosmala Bakhtiar, 57, dari Pusat Bandar Puchong pula berkata, setiap perwakilan harus memilih seorang pemimpin yang benar-benar berjiwa UMNO.

“Kita kena pastikan orang yang bakal memimpin kita kelak adalah orang orang betul-betul jiwanya UMNO, bukan hanya kerana mengejar pangkat dan nama. Ini penting kerana mereka ini nanti bertanggungjawab untuk memajukan parti, bangsa Melayu dan juga agama khususnya. Jika kita telah memilih dengan betul maka tidaklah nanti bertelagah sesama sendiri dan tidak timbul isu lompat parti.

“Saya juga berharap nanti UMNO yang baru ini akan dapat membentuk ahli jawatankuasa yang berkualiti dan tidak memandang politik wang,” jelasnya.

 Bagi perwakilan Pemuda Helmi Kusnin, 37, dari cawangan Bukit Kuchai Utama, beliau mengharapkan agar pemimpin akan datang lebih realistik dalam mendekati masyarakat khususnya golongan muda.

“Sebelum ini banyak program yang kita buat tapi lebih dianggap kepada syok sendiri. Jika pemimpin itu benar-benar dengar denyut nadi akar umbi maka mereka akan faham tidak perlu adakan program yang besar-besar….

“Secara peribadi apa yang berlaku pada PRU-14 yang lalu, tred pengundi memilih sudah tidak melihat kepada kaum. Telah mula berubah. Contoh di tempat saya, majoriti pengundi Cina tetapi mereka mengundi Pas. Ini menunjukkan akan datang, parti yang lebih kepada kaum tidak lagi relevan dengan masyarakat. Maka UMNO perlu lebih proaktif untuk mendekati dan memberi penerangan dengan lebih efektif,” ujarnya.

Seorang lagi perwakilan Pemuda Raimi Mahfuz, 32, Taman Sri Putra Impian berpandangan, pemimpin yang bakal terpilih kelak haruslah mendengar suara akar umbi dan suara anak muda secara serius.

Ini kerana, pada PRU-14 telah membuktikan bahawa anak muda menolak UMNO dan kebanyakannya kerana menunjukkan sikap protes.

“Anak muda protes kerana mereka merasakan suara mereka tidak didengari. Maka, pemimpin akan datang ini harus memberi perhatian kepada suara anak muda. Mungkin sebelum ini mereka terlepas pandang tetapi kali ini dengarlah suara dari bawah,” tegasnya.

Perwakilan Puteri Putrajaya, Norzianti Abd Dayan, 35, pula berpendapat, ramai yang sedia maklum bahawa keputusan PRU-14 jelas menunjukkan saluran pengundi muda iaitu saluran enam dan tujuh lebih memihak kepada Pakatan Harapan. 

“Maka, pada mesyuarat dan pemilihan kali ini, diharapkan akan dapat mengembalikan keyakinan anak muda di luar sana bahawa UMNO masih lagi sebuah parti yang masih sesuai untuk anak muda.

“Dalam UMNO sebenarnya kita banyak memperjuangkan anak muda. Maka sekiranya kita mahu berubah, suara anak muda harus lebih dengari. Bukan bermaksud kita menolak orang yang berusia, kita masih mendengar kata dan nasihat mereka tetapi generasi sekarang ini bergerak jauh ke hadapan.

“Mereka mengharapkan agar suara anak muda dapat di bawa ke atas. Jika ini dapat dilakukan maka tidak mustahil anak muda akan kembali bersama UMNO,” ujarnya.

Seorang lagi perwakilan Puteri daripada Putrajaya Norismawaty Ismail, 30, melahirkan harapan agar golongan muda dapat bersama-sama memahami erti perjuangan.

“Selain mempunyai iltizam yang baru, kita tidak boleh lari dari stigma yang lama. Kalau tiada yang lama tidak akan ada yang baru.

“Maka kebersamaan itu adalah penting. Kita harus bersatu membawa perubahan dalam kebersamaan. Tidak boleh lagi gerak sendiri-sendiri,” ulasnya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.