Pihak Luar Jangan Cuba Lagakan Pemimpin UMNO, Jaga Tepi Kain Sendiri


KUALA LUMPUR, 11 Jun – UMNO dengan tegas meminta pihak-pihak yang berada di luar parti agar jangan mencampuri atau cuba mempengaruhi proses pemilihan parti pada 30 Jun ini.

Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO berkata, kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin pembangkang mengenai pencalonan pelbagai jawatan yang dipertandingkan tidak ubah seperti mahu melaga-lagakan pemimpin UMNO yang sebenarnya bertanding dalam semangat harmoni adik beradik dalam keluarga besar.

“Kenyataan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai seseorang yang layak menerajui UMNO, kami sifatkan sebagai ‘menjaga tepi kain orang’ sedangkan UMNO tidak pernah mencampuri atau mengulas mengenai parti komponen Pakatan Harapan (PH).

“Apakah Dr Mahathir masih ‘meroyan’ dengan parti yang pernah dipimpin dan diperkudakannya selama 22 tahun?

“Begitu juga dengan kenyataan Lim Kit Siang bahawa UMNO memerlukan pendekatan baru untuk memulihkan imejnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tegasnya, UMNO ingin menasihatkan Kit Siang agar memberi tumpuan kepada isu dalaman Dap dan kes rasuah yang dihadapi oleh anaknya, iaitu Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

“Kit Siang juga harus akur dengan kenyataan ahlinya sendiri yang menggelar beliau sebagai seorang diktator kerana keengganannya menyerahkan kuasa kepada orang lain.

“Begitu juga dengan bekas Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz.

“Beliau yang mengaut kekayaan ketika di dalam UMNO, tidak ada hak lagi berkata apa-apa mengenainya.”

Ujarnya, UMNO merasakan cubaan campur tangan ini bertujuan memporak-perandakan parti yang menjadi wadah perjuangan bangsa Melayu selama ini.

“Namun perlu diingat bahawa secara individu, UMNO meraih 54 kerusi Parlimen pada PRU lalu, membuktikan ia mampu berdiri sendiri tanpa gabungan politik Barisan Nasional (BN) dan PH.

“PH bukanlah sebuah parti politik yang kukuh sebenarnya. Oleh itu, beranikah mereka meleraikan ikatan ini dan berdepan satu sama satu dengan UMNO?”

Bidasnya, janganlah regim PH cuba menjadi ‘king maker’ dengan cuba mencatur apa yang patut dibuat dan siapa harus menjadi pemimpin dalam UMNO. Jangan umpama ‘ayam jantan yang berkokok berderai-derai, tetapi ekor bergelumang tahi’.

“Berilah kami ruang menguruskan hal parti kami sendiri.

“Kami yakin kepimpinan yang ada mampu menjanjikan masa depan yang lebih gemilang,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.