Yang Sebenarnya Ada, Krisis Pakatan Harapan

Apa yang sedang berlaku sebenarnya antara Putrajaya dan Istana Negara dalam soal pelantikan Peguam Negara? Apakah kita sedang di ambang krisis antara eksekutif dan raja berperlembagaan?

Atau apakah sebenarnya ada krisis lain yang sedang bergolak di bawah radar?

Namakanlah ia apa saja – politik tunjuk kuasa atau politik rebut kuasa, krisis tetap krisis.

Terlepas daripada semua itu, apa yang pasti, Pakatan Harapan sendiri sedang bergelut dalam satu masalah yang juga sudah sampai ke tahap krisis: kegagalan menunjukkan sikap dan menjelaskan dengan sejelas-jelasnya agenda perubahan yang ia janjikan dalam pilihan raya umum yang lalu.

 

Rakyat memerhati, dan pembangkang – sekarang UMNO, meneliti.

Dalam soal pencalonan Tommy Thomas, seorang peguam kanan dan pakar perlembagaan sebagai pengganti Mohamed Apandi Ali, orang mula bertanya, bukankah Pakatan Harapan sebelum ini berjanji Peguam Negara akan dilantik dari kalangan ahli parlimen yang berkelayakan.

Itu janji Pakatan Harapan dalam manifestonya Buku Harapan, dokumen yang memperhaluskan semua janji-janji yang diteriakkan di pentas ceramah sepanjang kempen PRU14.

Orang bertanya, apa sudah jadi?

Orang bertanya, apakah masih terpakai lagi Janji 15 yang menggariskan kenapa dan bagaimana akan ada dua pejabat yang terpisah antara Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara.

Orang bertanya, masih ada lagikah janji itu?

Ini bukan pertanyaan yang berlebihan. Ini pertanyaan yang bertebaran, sejak terbit laporan bahawa empat parti dalam Pakatan Harapan sepakat mahu Thomas menggantikan Mohamed Apandi Ali.

Pada era orang membaca tajuk berita, ini realiti yang mesti dihadapi bukan saja oleh Pakatan Harapan.

Banyak pemimpin dan parti politik lain pun berdepan masalah yang sama – orang tidak faham hujung pangkal cerita tetapi sudah membuat rumusan itu dan ini, atau segelintirnya tahu dan faham tetapi sengaja buat tidak faham kerana ada muslihat dan kepentingan lain.

Dalam keadaan begitulah, Pakatan Harapan harus lebih cekap  menjawab pertanyaan, lebih tangkas menangani tohmahan dan lebih arif membaca kemungkinan.

Rakyat memerhati, dan pembangkang – sekarang UMNO, meneliti.

Kalau ini bukan janji yang kritikal dan tidak termasuk dalam 10 janji dalam masa 100 hari, ya, jelaskan.

Kalau tempoh selepas menang pilihan raya sekarang ini waktu peralihan dan janji-janji itu akan dilaksanakan kemudian bersekali dengan rombakan institusi, ya, jelaskan.

Kalau pengasingan kuasa Peguam Negara dan Pendakwaraya Negara itu mesti terlebih dahulu melalui pindaan Perlembagaan Persekutuan, ya, jelaskan.

Kalau Peguam Negara Apandi yang sedang bercuti sekarang tidak boleh diharapkan untuk melakukan semua perubahan itu, maka itu perlu dilantik seorang yang lain yang akan kemudian mengotakan janji-janji itu, ya, jelaskan.

Soalnya sekarang, siapa yang menjelaskan semua itu? Adakah ini kerja Pakatan Harapan atau ini kerja masing-masing empat parti DAP, PKR, Bersatu dan Amanah? Atau ini sebenarnya masalah aku, engkau – Bersatu kata PKR yang buat; PKR kata DAP yang buat.

Jangan melenting kalau orang bertanya kerana bukan baru sekali ini Pakatan Harapan ternampak membelakangkan manifestonya sendiri. Dalam masa tiga minggu sejak menang PRU14 ini, sudah ada beberapa yang dilanggarnya – kata orang.

Orang tidak lupa bagaimana Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad yang, kalau ikut manifesto, tidak boleh pegang jawatan menteri dinamakan sebagai Menteri Pendidikan. Orang tidak lupa bagaimana ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tidak dilantik melalui Parlimen.

Orang memerhati, dan pembangkang – sekarang UMNO, meneliti.

Kalau ada yang menjelaskannya, apakah penjelasan itu cukup? Kalau rasa sudah cukup, kenapa masih ada yang tidak faham dan berbunyi.

Ketika Pakatan Harapan menonjolkan segala sesuatu yang berlaku sekarang ini sebagai “Malaysia Baru”, ia harus juga menunjukkan jalan ke arah budaya politik baru. Sudah, sudahlah zaman mengkritik hanya semata-mata untuk mengkritik, menghentam semata-mata untuk menghentam tanpa jelas betul atau salah.

Ini masa untuk politik hujah. Ini masa untuk bersaing dengan polisi. Inilah masanya, ketika pemimpin Umno seperti Najib Razak yang dahulu sering mengelak berhujah pun sekarang sudah mula berbahas dan menjawab.

Inilah masanya.

Pakatan Harapan sekarang masih lagi boleh berbulan madu. Umno belum betul-betul jadi pembangkang. Tetapi sebulan dari sekarang, apabila Umno sudah selesai memilih ketua baru, sudah mula ternampak hala tuju, bersiap-siaplah.

Ketika itu nanti, Pakatan Harapan tidak lagi boleh terus terbelit dalam masalahnya sendiri – namakanlah ia apa saja, baik politik tunjuk kuasa atau politik rebut kuasa.

themalaysianinsight.com

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit