Annuar Sokong Siasatan Guna Lunas Undang-undang

KOTA BHARU, 24 Mei – Ketua Penerangan UMNO Tan Sri Annuar Musa menyokong siasatan agensi penguat kuasa terhadap mana-mana anggota UMNO yang disyaki melanggar undang-undang asalkan ia mengikut lunas undang-undang.

Katanya sesiapa sahaja, baik pemimpin UMNO mahupun pemimpin kerajaan, boleh disiasat kerana prinsip ‘rule of law’ mesti dipertahankan.

“Orang yang buat salah dia tak boleh lari, tapi jangan menganggap orang itu berbuat salah sebelum dibuktikan bersalah dan tiada sesiapa harus dikecualikan,” katanya kepada pemberita di sini, malam tadi.

Bekas Presiden UMNO yang juga bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak kini berdepan siasatan kes rasuah dan salah guna kuasa membabitkan SRC International Sdn Bhd, iaitu anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Selain Najib, anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim turut disiasat SPRM.

Sementara itu, Annuar, yang juga Ketua UMNO Bahagian Ketereh, ketika ditanya sama ada akan menawarkan diri untuk jawatan nombor satu UMNO pada pemilihan parti akan datang berkata beliau belum memikirkan perkara itu lagi.