Peguam Persoal Cara Siasatan SPRM terhadap Mantan Perdana Menteri

KUCHING, 23 Mei – Seorang Peguambela dan Peguamcara, Datuk Idris Buang mempersoalkan cara siasatan yang digunakan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) terhadap mantan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Soal beliau, adakah pihak SPRM berkemungkinan silap dengan sangkaan dan juga tuduhan terhadap mantan Perdana Menteri kerana didorong oleh maklumat-maklumat yang kabur?

“Di sini, saya ingin mempersoalkan adakah mereka yang dilantik dalam badan penyiasat khas mengenai 1MDB itu semuanya tiada kepentingan untuk memastikan sangkaan mereka ‘benar’?  Dalam erti kata lain, sebahagian dari prinsip atau istilah ‘natural justice’ iaitu ‘No Man Shall Be A Judge In His Own Cause’.

“Semua yang terlibat di dalam pengendalian dan perjalanan keadilan (the course of justice) dari lapisan penyiasatan hingga ke lapisan penghakiman, hendaklah  bebas dari apa jua pandangan sangkaan atau kecenderungan yang boleh mengatakan mereka mempunyai ‘vested interest in the outcome of the case’.

“Apakah undang-undang berkaitan hak asasi ini dan juga rule of law benar-benar diikuti oleh pihak berkuasa hari ini terhadap Datuk Seri Najib dan juga mereka yang bakal dipanggil?,” ujarnya dalam satu kenyataan media.

Selain itu, Idris turut mempertikaikan apa keperluan Ketua Pengarah SPRM, Datuk Seri Shukri Abdull membuat liputan akhbar dengan menyentuh perkara-perkara yang boleh memberikan impak emosi kepada rakyat dan juga mereka yang sedang menjalani proses keadilan dalam isu 1MDB ini.

“Apa perlu sangatkah Ketua Pengarah SPRM itu membuat liputan akhbar dengan menyentuh perkara-perkara yang jelas boleh memberi impak emosi kepada mereka yang menjalankan proses keadilan agar cenderung untuk mencari bukti dan sebab supaya merea dapat menghukum?

“Jika kaedah dan proses yang diambil bertentangan dengan prinsip undang-undang maka pastinya ketidakadilan akan berlaku dalam proses pengadilan tersebut. Jika perkara ini berlaku maka ia hanya akan mencerminkan nilai-nilai yang menjurus kepada persoalan tentang kewibawaan pihak berkuasa, sekaligus kezaliman pemerintahan baru terhadap pihak yang diadili dalam kes ini,” jelasnya lagi.-MediaUMNO