Hipokrasi, Perlantikan Guan Eng Sebagai Menteri Kewangan Dipertikai Kerana Terlibat Kes Rasuah

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, rakyat mempertikaikan pelantikan Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan kerana Guan Eng sudah pun didakwa di mahkamah atas kes rasuah.

Jelas beliau, pelantikan tersebut sekaligus mencalar kredibiliti kerajaan baru yang sebelum ini dijanjikan dalam manifesto mereka untuk memerangi rasuah habis-habisan.

“Apa sudah jadi dengan ‘Rule of Law’ di bawah kerajaan regim Tun Mahathir? Nampaknya Kerajaan baru ini tidak peduli pertanyaan rakyat kenapa lantik Guan Eng yang sudah pun didakwa di mahkamah kerana kes rasuah.

“Ini ‘precedent’ yang buruk. Betul dia belum didapati bersalah tetapi bukankah Guan Eng sedang dibicara. Dia ada kes dan dia ada pertuduhan melalui bukti-bukti yang dikemukakan oleh SPRM. Kini rakyat berhak merasa bimbang apakah proses pendakwaan Guan Eng akan digugurkan untuk menghalalkan pelantikannya sebagai Menteri Kewangan,” ujar beliau dalam satu status yang dimuatnaik dalam facebook.

Katanya, kes Guan Eng dengan kes Khir Toyo ada persamaannya iaitu kedua-duanya membeli rumah banglo di bawah harga pasaran dan dakwaannya ialah si penjual mendapat benda lain sebagai balasannya.

“Akibat kes tersebut, Khir Toyo bukan sahaja terpaksa meletakkan jawatan tetapi juga di dapati bersalah dan telah menjalani hukumannya. Sebaliknya Guan Eng dilantik pula sebagai Menteri Kewangan.

“Persoalannya mana Bar Council? Mana Bersih? Mana ‘Transperancy International Malaysia’? Mana Ambiga? Mana parti-parti dalam Pakatan yang selama ini kononnya jaguh anti rasuah. Ini termasuk parti Dap. Kenapa ada ‘double standard’. Kalau bermaruah mereka sepatutnya mendesak Guan Eng supaya jangan terima jawatan tersebut.

“Ambil contoh mudah, Pengerusi Dap Sarawak Chong Chieng Jen mendesak supaya semua parti dalam Pakatan menolak permohonan Richard Riot ahli Parlimen Serian yang juga bekas Menteri Sumber Manusia untuk menyertai parti mereka atas alasan bekas Setiausaha Politik kepada Richard Riot telah ditahan SPRM kerana isu rasuah. Masalahnya yang disiasat adalah Setiausaha Politik beliau dan bukan Richard Riot,” tegas beliau.

Justeru, mengapa Richard Riot yang dicop sebagai penjenayah. Dalam kes Guan Eng dia adalah orang yang dituduh dan didakwa maka kenapa orang Dap sperti Chong tidak mendesak perlantikan Guan Eng dibatalkan.

“Inilah hipokrasi kerajaan Pakatan,” sindir Puad lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.