Demi Pembaharuan UMNO, Shahrizat Umum Tidak Pertahan Ketua Wanita Cawangan Dan Bahagian

KUALA LUMPUR, 23 Mei – Ketua Pergerakan Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil maklumkan tidak akan menawarkan diri sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Sri Helang dan juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Kepong dalam pemilihan pada kali ini.

Katanya, tindakan tersebut adalah selaras dengan gesaannya agar semua jawatan dalam UMNO dibuka untuk dipertandingkan.

“Semoga langkah di peringkat cawangan ini menjadi titik perubahan dan pembaharuan yang diperlukan dalam UMNO dengan lantikan pemimpin-pemimpin baru yang hadir membawa idea segar dan perspektif baru,” katanya dalam satu kenyataan media.

Namun demikian, beliau memaklumkan sebagai ahli Wanita UMNO Bahagian Kepong, akan terus bersama membantu Wanita UMNO bahagian terbabit pada waktu dan keadaan yang memerlukan mengikut keupayaan.

“Insya-Allah, Wanita UMNO Kepong akan terus bersatu, bersetia dan berkhidmat untuk agama, bangsa dan negara.”

Sebelum itu telah berlangsung Persidangan Tahunan Berkelompok Pergerakan Wanita UMNO Cawangan-Cawangan dalam Bahagian Kepong yang diadakan di PWTC. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.