UMNO Tak Kan Berkubur, Kini Masa Untuk Bangkit Bina Semula Parti

PEKAN, 22 Mei – Ketua Wanita UMNO bahagian Pekan, Datuk Zalmah Abdul Rahman berkata, masa untuk ahli UMNO menangis telah tamat dan kini adalah masa bagi semua ahli mengumpul segala kekuatan untuk kembali bangkit membangunkan parti.

Jelas beliau, parti keramat UMNO ini tidak akan berkubur begitu sahaja seperti yang diimpikan oleh Pakatan Harapan.

“Kami Wanita akan pastikan roh perjuangan kembali kuat seperti sebelum ini. UMNO telah menerajui kepimpinan parti begitu lama dan mana mungkin apa yang telah dilakukan oleh parti keramat ini dilupakan begitu sahaja.

“Saya selaku ketua Wanita UMNO bahagian Pekan akan bersama-sama dengan pucuk pimpinan atasan dan akar umbi bagi menguatkan saf perjuangan untuk memastikan UMNO terus segar dan terus relevan di hati masyarakat,” jelas beliau kepada UMNO-Online.

Dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu, Barisan Nasional (BN) telah tewas kepada Pakatan Harapan yang akhirnya menyaksikan berlakukan peralihan kuasa.

Namun begitu, kekalahan BN dalam PRU-14 bukan bermakna keseluruhan rakyat menolak kepimpinan mereka. Buktinya jelas apabila BN memenangi 79 kerusi Parlimen dan 178 DUN. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.