Semua Jawatan Bebas Dipertandingkan Dalam Pemilihan UMNO – Zahid

 

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Semua jawatan dalam UMNO terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ketua-ketua bagi kepimpinan sayap parti, kata Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, tidak timbul soal tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam pemilihan UMNO.

“Saya bersama Datuk Seri Hishammuddin secara berlapang dada dan berfikiran terbuka mahu supaya jawatan ini ditandingi oleh sesiapa sahaja yang berkelayakan dan mengikut peraturan yang telah ditentukan.”

“Kami juga telah diberi pertanggungjawaban dan amanat untuk menyelesaikan beberapa permasalahan dan isu-isu yang sedang dihadapi sekarang ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di Menara Dato’ Onn hari ini.

Jelasnya, MT juga telah mengambil keputusan supaya ahli-ahlinya diberikan tanggungjawab untuk menjaga bahagian-bahagian tertentu dengan turun ke bawah bertemu kepimpinan di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan di bahagian berkenaan.

“Jawatankuasa bertindak ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa dan beliau akan melakukan penyelarasan terhadap aktiviti ini.”

Kemudiannya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah memaklumkan bahawa tarikh persidangan tahunan Cawangan dan Pergerakan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO bermula Sabtu, 19 Mei 2018 sehingga Ahad, 10 Jun 2018 sementara di peringkat bahagian pada Sabtu, 30 Jun 2018.

Katanya, ahli-ahli UMNO yang ingin bertanding boleh mendaftar secara ‘online’ bermula 1 Jun 2018 (Jumaat) dan pencalonan akan ditutup pada 17 Jun 2018 (Ahad), jam 5.00 petang bagi semua peringkat pemilihan MT, bahagian dan pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.

Jelasnya lagi Jawatankuasa pemilihan yang dibentuk di peringkat bahagian juga akan berfungsi di semua peringkat pemilihan sepanjang proses pemilihan berlangsung. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.