Pertahan UMNO Demi Kesungguhan Untuk Terus Berkhidmat Kepada Rakyat – Bung Mokhtar

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Bung Moktar Radin berkata, semua anggota parti khususnya kepimpinan UMNO perlu terus bersatu demi mempertahankan parti keramat ini.

“PRU-14 yang lalu telah memperlihatkan bahawa UMNO dan BN tidak menjadi pilihan rakyat. Namun begitu, UMNO masih lagi sebuah organisasi yang tersusun dan mempunyai kesungguhan untuk terus berkhidmat kepada rakyat.

“Selaku ahli MT UMNO, saya ingin berpesan, agar kita terus mara ke hadapan dan terus mantapkan perjuangan. Kita perlu mempunyai kesedaran bahawa rakyat memerlukan komitmen yang tinggi dari kita untuk mereka sama-sama bangun dan mempercayai kita kembali,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Selaras dengan itu, katanya UMNO perlu berubah baik cara berfikir, cara mengurus parti mahupun cara berkomunikasi jika mahu parti keramat ini kembali diterima rakyat secara keseluruhannya.

“Sekiranya dalam tempoh lima tahun akan datang ini kepimpinan parti mampu membuktikan kepada rakyat bahawa UMNO adalah yang terbaik maka sudah pasti rakyat akan kembali memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) dan UMNO pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) kelak.

Justeru jelas beliau, apa yang perlu diubah maka harus diubah demi kebaikan parti mahupun rakyat.

“Sekiranya kita berjaya mengurus parti dan rakyat dengan baik, yakin dan percayalah UMNO dan BN akan kembali memerintah di bumi bertuah ini,” ulas beliau lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.