MT UMNO Ucap Tahniah Pembentukan Kabinet Baharu, Akan Jadi Pembangkang Konstruktif – Zahid

KUALA LUMPUR, 22 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini mengucapkan tahniah terhadap pembentukan kabinet baru di bawah Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan mengharapkan segala janji yang dibuat menerusi manifesto Pilihan Umum (PRU) yang lalu dapat dilaksanakan.

Naib Presiden UMNO yang menjalankan tugas-tugas presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata parti terbabit akan melihat serta memerhatikan setiap langkah kerajaan baharu itu dan seterusnya akan menjadi pembangkang yang konstruktif.

“Mereka telah mengangkat sumpah dan mula menjalankan tugas. Kami mengucapkan selamat menjalankan tugas demi negara dan rakyat keseluruhannya. Kami di dalam UMNO tentunya akan memerhatikan setiap langkah dan tindakan–tindakan kerajaan baharu ini dan tentunya kami sebagai pembangkang akan membangkang secara konstruktif.

“Pada masa yang sama kami akan melihat pelaksanaan dan pelunasan semua janji-janji yang termaktub di dalam manifesto yang telah dikemukakan oleh mereka dan UMNO serta BN keseluruhannya merasakan bahawa sebagai sebuah kerajaan yang bertanggungjawab tentulah rakyat mengharapkan segala janji-janji mereka di dalam manifesto terutama janji 100 hari pertama dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mempengerusikan Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO, di sini, hari ini.

Datuk Seri Ahmad Zahid seterusnya menegaskan pihaknya juga telah membincangkan peranan yang akan dimaikan oleh 54 ahli parlimen daripada UMNO serta 24 ahli parlimen yang lain di dalam BN.

“Kami bincangkan bagaimanakah bentuk kami bergerak ke depan dan menentukan segala rancangan yang kami susun akan dapat dilaksanakan sepenuhnya. Bagi rakan-rakan di dalam BN sebagaimana semua maklum kami telah adakan mesyuarat Dewan Tertinggi parti pada minggu yang lalu dan meletakkan harapan kepada semua parti-parti komponen supaya terus mantap dan memperkukuhkan barisan dikalangan kita.

“Sebagaimana yang kita maklumkan, kita sedang menstrukturkan semula bukan hannya soal penjenamaan tetapi tentang kerja-kerja yang kita susun selain melihat beberapa perkara yang perlu bukan hanya kepada UMNO tetapi juga kepada BN.

“Kita menghormati pandangan rakan-rakan kita daripada parti komponen begitu juga pandangan daripada kerajaan BN di Sarawak, Sabah yang kita tahu mereka tetap kekal dan utuh bersama BN di peringkat pusat,” katanya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.