Ahli Akar Umbi Tak Patah Semangat, Tekad Bangkit Perkukuh Semula UMNO


TANJUNG MALIM, 21 Mei – Keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang tidak berpihak kepada Barisan Nasional (BN) tidak mematahkan semangat ahli-ahli UMNO di akar umbi dalam membina semula keyakinan agar parti terus mengorak langkah jauh ke depan selepas ini.

Ketua UMNO Bahagian Tanjung Malim, Datuk Khusairi Abdul Talib yakin dengan pelbagai pendekatan dan juga langkah yang akan diambil oleh pucuk pimpinan dalam usaha membina semula UMNO.

“Kekalahan lalu bukan pengakhiran kerana kita yakin majoriti pengundi khususnya orang Melayu masih bersama dengan kita dan pada masa yang sama kita akan terus berusaha untuk memenangi semula hati pengundi muda khususnya yang dianggap telah meninggalkan UMNO.

“Saya yakin dengan strategi yang diatur oleh kepimpinan pusat serta negeri, kita akan terus mengorak langkah ke depan.

“Kita juga yakin usaha-usaha pemulihan parti dapat dilaksanakan sebaik mungkin khususnya apa yang telah pun dinyatakan oleh Datuk Seri Dr Zahid bahawa setiap pemimpin perlu memastikan mereka tidak meninggalkan perjuangan parti dan pada masa yang sama memperkukuhkan iltizam untuk terus bergerak ke depan,” katanya kepada UMNO-Online, di sini, hari ini.

Beliau menegaskan semangat ahli parti di akar umbi dapat dilihat apabila masing-masing cukup bersemangat untuk sama-sama membina semula parti berdasarkan kehadiran dan sokongan yang dipamerkan semasa perasmian persidangan berkelompok UMNO bahagian terbabit Ahad lalu.

“Lihat semangat mereka berkobar-kobar untuk terus melangkah jauh ke depan dan walaupun tempoh yang diberikan begitu singkat sekali untuk mereka adakan mesyuarat di peringkat cawangan, tetapi daripada maklum balas yang kita perolehi dan daripada taklimat-taklimat diberikan mereka menyatakan kesediaan dalam tempoh yang diberikan.

“Dan kita akan memastikan mesyuarat cawangan bergerak lancar dan dalam mesyuarat berkenaan sudah pasti banyak idea yang akan diberikan oleh akar umbi dan kita akan lihat dengan serius segala saranan yang dibuat akar umbi khususnya dalam soal membina UMNO agar parti terus mendapat sokongan bukan sahajala di kalangan kita semata-mata malah di kalangan rakyat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Tetap UMNO cawangan Kampung Kelawar Tanjung Malim, Mohammad Yadzan Mohamad berpandangan parti diyakini akan terus mengorak langkah ke depan dan bukannya melihat ke belakang.

Hal itu katanya lagi amat penting agar seluruh ahli dapat terus istiqamah dan terus kekal di dalam perjuangan supaya apa yang diperjuangkan selama ini terus berpanjangan dan berterusan berkhidmat untuk rakyat.

“Kalah bukan kalah selamanya dan insya-Allah kita akan terus bangkit dalam usaha membina semula parti ke depan dan inilah yang kita sama-sama perlu tanam di dalam setiap diri. Insya Allah apa yang terjadi hari ini akan kita jadikan semangat untuk sama-sama membina semula parti,” katanya.

Katanya lagi apa yang penting adalah azam dan semangat yang perlu dikekalkan malah akar umbi tentunya memainkan peranan penting dalam memastikan kelangsungan dan kejayaan parti dapat dibina semula untuk kepentingan bersama,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafei Mat Shuib Ketua UMNO Cawangan Bandar Behrang 2020 berpandangan apa yang berlaku hari ini tidak mematahkan semangatnya malah akan terus lebih bersemangat bersama-sama dengan pucuk pimpinan dalam membina semula parti.

Katanya setiap yang berlaku ada hikmahnya dan apa yang penting hari ini semangat dan tekad perlu disematkan di dalam diri dalam usaha membantu parti ke depan. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.