Masa Bersedih, Kesal, Menuding Jari Telah Berlalu, Kini Masa UMNO Untuk Bangkit – Annuar

TANJUNG MALIM, 21 Mei – Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan bahawa masa untuk bersedih dan kesal terhadap apa yang berlaku dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sudah pun berlalu selain masa untuk menuding jari juga sudah pun lepas.

“Saya bangkitkan semua ini untuk menyatakan kepada rakan-rakan seperjuangan dalam parti masa untuk bersedih sudah berlalu, masa untuk kesal juga sudah berlalu… hatta masa untuk menuding jari juga sudah pun sepatutnya berlalu. Orang perjuangan mesti bersiap siaga memandang ke depan selagi mana kita memahami daripada mana kita datang dan ke mana seterusnya akan kita pergi.

“Saya tidak menafikan fitrah manusia yang akan berdukacita… kalau tidak berdukacita itu bukan manusia. Saya tahu kita berdukacita, kita baru seminggu kalah, maka tanam dulu keyakinan bahawa perjuangan UMNO kerana Allah s.w.t. Perjuangan itu menyambung apa yang ditinggalkan Rasulullah s.a.w  untuk membawa ‘rahmatal lil alamiin’. Nabi Muhammad s.a.w  pun diuji dengan menang dan kalah. Inikan pula kita manusia biasa,” katanya dalam ucapan perasmian persidangan serentak UMNO cawangan bahagian Tanjung Malim, di sini, malam tadi.

Annuar seterusnya melahirkan rasa bangga dengan semangat yang ditunjukkan oleh ahli-ahli parti yang terus istiqamah dalam perjuangan.

“Baru-baru ni saya pergi ke Kampar…, saya tidak dapat berucap kerana saya menangis di depan ahli cawangan di sana. Ada orang kata saya sedih sebab kata kita kalah… bukan… saya dah pernah kalah 30 tahun dulu di Kelantan… berjuang dan terus berjuang maka majoriti saya bertambah dalam kemenangan di Ketereh baru-baru ini..

“Saya sedih waktu di Bahagian Kampar itu kerana saya tengok orang kampung…orang cawangan biasa…orang yang bukan dapat pangkat dan bukan dapat macam-macam seperti ‘yang berhormat‘  tetapi mereka terus istiqamah dengan UMNO, kami orang besar-besar rasa malu kepada orang kecil di bawah kerana yang ‘melompat’ adalah orang besar-besar,” katanya sambil mendapat tepukan gemuruh mereka yang hadir.

Annuar seterusnya mengimbau sejarah perjuangan parti selama ini sejak daripada 1946.

“Allah s.w.t akan menguji umatnya atau menguji makhluknya mengikut apa yang bersesuaian dan berpadanan dengan kita. Setiap yang berlaku dan setiap peristiwa yang terjadi Allah s.w.t lebih mengetahui akan natijah dan apakah yang bakal menyusul selanjutnya selepas daripada ini.

“UMNO bangkit dalam suasana yang tidak ada kuasa. Waktu kita menubuhkan parti kita pada tahun 1946 kita tidak ada kedudukan, kita tidak ada kuasa, kita tidak ada sebarang kemudahan dan kita berjuang dalam keadaan sedemikian satu dekad lamanya.

“Hasil daripada 10 tahun kita berjuang Allah s.w.t memberikan kita tujuh dekad kesenangan. 70 tahun dengan kekuasaan… barangkali dalam 70 tahun itu semangat juang sepuluh tahun yang pertama telah luntur.  Mungkin dalam 70 tahun itu kita terlalai, mungkin dalam 70 tahun itu roh perjuangan telah digantikan dengan perkara lain.

“Mungkin kita terlupa daripada mana kita datang dan ke mana kita mahu pergi. Mungkin ramai mula menyangka perjuangan itu untuk segala-galanya, untuk kedudukan, dan sebagainya, maka Allah s.w.t mungkin mahu memperingatkan kita yang pastinya suatu perkara yang tidak mungkin akan berubah dulu tetapi kini atau pada masa-masa akan datang beraku perubahan namun perjuangan perlu berterusan,” katanya.

Tambah Annuar menang atau kalah hanya di atas dunia dan ahli parti perlu terus istiqamah dalam perjuangan.

“Menang atau kalah itu hanya untuk tempoh lima tahun dan selepas itu berlawan lagi tetapi bila di akhirat ganjaran Allah s.w.t buat selama-lamanya. Barang siapa berjuang di dalam UMNO kerana kuasa dan kedudukan hari ini terimalah hakikat kuasa dan kedudukan sudah hilang. Barang siapa memilih untuk berjuang kerana Allah s.w.t dan kerana agama, perjuangan itu ada di depan buat selama-lamanya dan ganjaran tetap diberikan Allah s.w.t,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.