Petanda Kematangan, BN Terima Kekalahan Secara Terhormat – Salleh


KUALA LUMPUR, 21 Mei – Barisan Nasional (BN) buat kali pertama mengalami kekalahan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dan menerimanya secara terhormat yang mana ia menunjukkan kematangannya, kata Bendahari UMNO, Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Katanya, dalam politik kemenangan dan kekalahan merupakan sebahagian daripada adat pertandingan dan BN menerimanya.

“Mereka mengatakan sangat sukar untuk menerima sesuatu kekalahan atau kegagalan malah lebih sukar lagi untuk menguruskan kemenangan atau kejayaan,” katanya.

Jelas beliau, dalam kekalahan atau kegagalan, perlu berusaha untuk memperbaiki diri supaya dapat menjadi lebih baik sementara dalam kemenangan atau kejayaan, akan berdepan dengan risiko membenarkan diri alpa dengan kejayaan.

“Untuk pemenang pula, mereka perlu belajar supaya bermurah hati dalam sesuatu kemenangan. Kebebasan dan keadilan awam (Civil Liberties) bukan hanya mengenai perlunya ada perbicaraan yang adil di mahkamah tetapi juga cara bagaimana seseorang itu diperlakukan sebelum beliau diadili dan didapati bersalah.

“Pelanggaran terbesar kebebasan awam (Civil Liberties) adalah menafikan hak seseorang itu untuk dilayan dengan bermaruah,” katanya yang dipetik menerusi laman blognya. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.