Mesyuarat Cawangan Platform Terbaik Perkukuh Parti Untuk Teruskan Perjuangan

KUALA LUMPUR, 19 Mei – Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, mesyuarat cawangan yang bermula hari ini adalah platform terbaik untuk pastikan UMNO kembali bangkit.

Beliau percaya UMNO negeri itu akan terus bangkit kerana Kedah pernah merasa menjadi pembangkang dahulu.

Jelas beliau, walaupun kali ini Barisan Nasional (BN) tidak lagi menjadi kerajaan pusat setelah tewas dalam PRU-14 yang lalu, namun beliau penuh yakin ahli UMNO akan bangkit bagi memperkukuhkan parti keramat ini.

“Biasalah… ada dugaan dan cabaran tetapi saya yakin ahli UMNO akan terus bangkit semula… Kedah biasa alami kekalahan dan kita bangkit untuk menang.

“Kali ini saya percaya ahli UMNO akan terus beri kerjasama kerana saya melihat semangat mereka msih kekal dan sayangkan UMNO.

“Saya juga telah berjumpa dengan semua ketua-ketua bahagian dan meminta mereka selesaikan mesyuarat cawangan dalam hujung bulan ini,” ujar beliau kepada UMNO-Online.

Bagi Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid pula, mana-mana cawangan yang berjuang atas nama UMNO mesti mengadakan mesyuarat kerana dari situlah baru boleh dilaksanakan mesyuarat bahagian dan seterusnya persidangan di peringkat pusat.

“Saya harap semua jentera dapat digerakkan untuk mengadakan mesyuarat cawangan dengan penuh semangat.

“Saya amat berharap semua orang boleh bekerja dan adakan mesyuarat dengan baik, yang mana sudah pergi (lompat parti)… pergilah… apa nak buat… biarlah…,” ujar beliau.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Tiang, Datuk Suraya Yaacob pula berkata, mesyuarat cawangan inilah satu-satunya tempat untuk semua ahli yang ingin terus berjuang secara ikhlas kembali bersama-sama parti dan laksanakan mesyuarat dengan lebih bersemangat.

“Kita kena ingat, perjuangan kita ini penting kerana ia diperlukan untuk lima tahun akan datang. Selepas kekalahan BN dalam PRU-14 yang lepas, kita perlu bangkit semula bagi berhadapan dengan PRU-15 nanti,” ulas beliau. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.