Terimalah Hakikat, Ekonomi Negara Kukuh Hasil Barisan Nasional


KUALA LUMPUR, 18 Mei – Bekas Pengarah Komunikasi Kementerian Kewangan (MOF) Datuk Lokman Noor Adam menyeru kepada Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar berlapang dada dan menerima hakikat bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) kini mewarisi negara dengan ekonomi yang kukuh hasil daripada pentadbiran kerajaan terdahulu, kerajaan Barisan Nasional (BN).

Lokman turut melahirkan perasaan terkejut dengan kenyataan yang cukup tidak bertangggungjawab dari perdana menteri ketujuh itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan di Ibu Pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) semalam dengan mengatakan bahawa kadar pertumbuhan ekonomi tahunan negara yang diumumkan oleh kerajaan BN sebelum ini adalah palsu termasuk beberapa angka ekonomi lain.

“Sebagai salah seorang yang bertanggungjawab menerangkan tentang Dasar Ekonomi Negara sebelum ini, selaku Bekas Pengarah Komunikasi MOF, saya telah mengambil inisiatif untuk menghubungi Ketua Perangkawan Negara, Datuk Seri Dr Uzir Tengku Datuk Ubaidillah bagi mendapatkan pengesahan data-data yang dikeluarkan oleh Jabatan Statistik Malaysia, sekiranya benar sepertimana tuduhan Tun bahawa ianya telah dipalsukan.

“Ini disebabkan, segala data-data yang telah dikeluarkan berhubung soal Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) datangnya dari hasil bancian dan dapatan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

“Walaupun Ketua Perangkawan kini bukan lagi berkhidmat di bawah kerajaan BN, beliau secara jujur telah menegaskan bahawa angka Pertumbuhan Ekonomi Negara telah disusun berdasarkan rangkakerja “International Best Practice” dan menepati piawaian antarabangsa. Pengiraannya dilakukan secara profesional dan dengan integriti yang sangat tinggi,” jelasnya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Justeru menurut Lokman, seharusnya Tun Mahathir berlapang dada dan menerima hakikat bahawa kepimpinannya kini mewarisi kerajaan yang mempunyai ekonomi yang kukuh hasil pentadbiran baik di bawah Datuk Seri Najib Razak.

Rakyat juga kini semakin sedar penipuan Tun Mahathir selama ini bahawa negara menuju ke arah kebankrapan adalah tidak benar sama sekali serta sangat tidak bertanggungjawab sekiranya bekas perdana menteri keempat atas tiket BN itu menafikan KDNK Malaysia tahun lalu 5.9% adalah antara yang tertinggi di dunia, ujarnya lagi.

“Dalam masa yang sama, Tun juga perlu menjelaskan kepada rakyat bahawa tuduhan bahawa negara ini terbeban dengan kadar hutang yang tinggi adalah tidak benar sama sekali.

“Kadar hutang Malaysia bagi tahun 2017 sebanyak 50.8% berbanding KDNK adalah sihat berbanding kadar hutang zaman Tun memerintah tahun 1986 iaitu 103.4% berbanding KDNK.

“Saya sedar Tun kini tertekan kerana apa yang Tun fitnah terhadap ekonomi negara sebelum ini akhirnya dinafikan oleh Gabenor Bank Negara dan Tan Sri Zeti yang mengumumkan ekonomi negara berada dalam keadaan baik dan rezab Bank Negara berada pada tahap tertinggi iaitu RM438 Billion,” tambahnya.

Dalam perkembangan yang berkaitan, Lokman turut berpandangan Tun Mahathir sepatutnya menumpukan perhatian menunaikan janji-janji yang telah dibuat sebelum pilihan raya umum ke-14 daripada mengalih perhatian rakyat kepada sandiwara memikul beg-beg yang kononnya berisi duit yang dimiliki oleh Datuk Seri Najib dan barang kemas serta beg yang kononnya dimiliki isteri beliau kerana sebagai cucu kepada jutawan Melayu, Tan Sri Noah, tidak mustahil jika cucunya kaya-raya.

“Tapi Tun kena ingat, esok lusa jika Dap sudah tidak mahu menggunakan Tun yang hanya punyai 12 kerusi Parlimen, satu negara akan tonton keluarga Tun diaibkan pula. Berapa beg dan berapa trak pula agaknya yang bakal digunakan untuk angkut duit, barang kemas serta kereta-kereta mewah milik anak-anak Tun.

“Masa tu baru rakyat akan bertanya macamana anak seorang perdana menteri yang datuknya hanya seorang guru, mampu memiliki harta yang berbillion ringgit,” sindirnya. – Media UMNO.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.