“Jika Najib Santuni Mahathir Sebagai Pembangkang, Kenapa Tun Begitu Zalim Terhadap Beliau”- Anina

KUALA LUMPUR, 17 Mei – Presiden Empirical Malaysia, Anina Saadudin menyatakan perasaan terkilan atas tindakan kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kelihatan terburu-buru ‘melancarkan serbuan besar-besaran’ ke kediaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak malam tadi ketika mana bulan Ramadan baru sahaja memasuki hari pertama.

Kesalnya lagi, jika benar mahu ‘selamatkan negara’ kerajaan pimpinan Tun Mahathir sepatutnya terlebih dahulu membentuk kabinet dan bukan tindakan sedemikian menjadi keutamaan.

Kerajaan PH kini cuba mengaitkan segala permasalahan yang timbul di dalam syarikat pelaburan negara 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dengan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Modus operandi untuk tontonan umum ini adalah terlalu jijik, memualkan dan memalukan kerana saya bangsa Melayu beragama Islam. Tindakan Perdana Menteri semalam adalah penghinaan kepada bangsa Melayu beragama Islam.

“Semalam selepas seminggu berjaya menang PRU14, kabinet pun belum lantik. Rangka kerajaan juga belum ada. Dr Mahathir lancarkan serbuan besar-besaran dengan menghantar Black Maria dan berpuluh-puluh kenderaan polis dengan anggaran hampir 300 anggota ke 5 premis dan lokasi utamanya adalah rumah DS Najib Razak di Langgak Duta, Kuala Lumpur.

“Nak tangkap Botak Chin pun tidak sebesar ini serangannya. Nak tunjuk apa kepada dunia? Bagi saya drama ini hanya suatu bentuk pembersihan motif haram menjatuhkan kerajaan Islam yang mengangkatnya selama 22 tahun di puncak kuasa. Maka Datuk Seri Najib Razak perlu kelihatan sebagai penjenayah besar,” kata Anina dalam satu kenyataan di laman facebook Empirical Malaysia hari ini.

Tambah Anina, ini berbeza dengan keperibadian Datuk Seri Najib Tun Razak yang tidak pernah mengganggu dan memberi tekanan kepada beliau serta Tun Mahathir walaupun dahulunya beliau pernah menggelar Najib dengan pelbagai gelaran buruk.

“Dua tahun saya saman beliau dan saya hamun beliau di sosial media. Saya bercakap ikut sedap mulut malah saya gelar dia pencuri, penyamun, perompak dan bangsat. Dr Mahathir memuji tindakan saya sebagai ‘wanita berani yang diperlukan negara’.

“Apa pun yang saya lakukan, Datuk Seri Najib langsung tidak ganggu saya. SB (polis cawangan khas) tak pernah panggil saya ke balai. Saya berhenti kerja secara sukarela kerana saya perlu bertanggungjawab terhadap UniRazak. Datuk Seri Najib tidak pernah keluarkan arahan untuk memberi tekanan kepada saya,” katanya sambil akui beliau dan Tun Mahathir disantuni dengan baik oleh Najib ketika mereka berdua sama-sama dalam blok pembangkang dahulu.

“Jika lima tahun Datuk Seri Najib Razak santuni Dr Mahathir dan saya sebagai pembangkang, kenapa Tun begitu zalim terhadap beliau?” soalnya.

Dilaporkan malam semalam Datuk Seri Najib Razak diasak dan ditekan selama enam jam tanpa belas ihsan di malam pertama Ramadan hingga dibiarkan tertidur di sofa sambil menunggu rumahnya digeledah dan tanpa diberi peluang menukar pakaian solat terawih.

Jelas Anina, jika inilah harga Datuk Seri Anwar Ibrahim (yang juga pernah diserbu rumahnya ketika zaman pemerintahan Tun Mahathir Perdana Menteri Keempat) dan Datuk Seri Najib Razak, maka beliau yakin kesemua ahli Parlimen PH itu hanya ‘taik kuku’ bagi Tun.

“Apakah ini satu lambang kemegahan seperti mana membina KLCC bagi Dr Mahathir? Allahyarham bapanya (Tun Abdul Razak) adalah pejuang kemerdekaan yang juga membuka kawasan Felda untuk berpuluh ribu Melayu.

“Beliau sendiri (Mohd Najib) perdana menteri yang memberi wang kebajikan kepada 7 juta rakyat selama enam tahun dan membina beratus ribu rumah mampu milik kepada jutaan isi rumah.

“Datuk Seri Najib Razak juga tinggalkan RM430 billion dalam rezab negara. Beliau jauh lebih bijak dari Tun dalam pentadbiran ekonomi. Itu fakta,” kata Anina yang turut mendoakan Tun Mahathir bersama isteri dan anak-anak menikmati Ramadaan pertama dengan hati yang bahagia tanpa melupakan hari pembalasan ketika berada dalam saat bahagia.

Anina turut menyatakan tekadnya membela Datuk Seri Najib sehingga ke penghujung destinasi yang ditetapkan Allah.

“Saya hormati Tun sebagai manusia kerana saya juga akan bersama Tun saat jasad Tun terkujur dan dimasukkan ke liang lahad, tapi bukan dalam perjuangan,” tegasnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.