Wan Rosdy Mahu Tingkat Sistem Penyampaian Kerajaan Negeri

KUANTAN, 16 Mei – Menteri Besar Pahang yang baharu Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berazam untuk meningkatkan lagi sistem penyampaian dan perkhidmatan kerajaan negeri dengan melonggarkan kekangan birokrasi berhubung beberapa perkara tertentu.

Wan Rosdy yang dilantik menjawat jawatan itu semalam, berkata ini termasuk menurunkankan kuasa menteri besar kepada Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) untuk membolehkan sesuatu perkara diproses dengan lebih cepat.

“Sistem yang ada sekarang sudah baik, tetapi kita akan pertingkat lagi dengan memudahkan beberapa proses tertentu untuk mempercepatkannya asalkan ia tidak lari daripada peraturan dan undang-undang.

“Contohnya sesuatu yang perlu mendapat kelulusan menteri besar, jika ia tidak melibatkan pembelian aset yang baharu kita akan percepatkan prosesnya hanya dengan mendapat kelulusan SUK sahaja seperti proses pelupusan kenderaan lama.

“Jadi ia tidak akan mengambil masa yang panjang kerana sebagai menteri besar banyak perkara yang perlu ditumpukan termasuk soal kebajikan rakyat,” kata Menteri Besar Pahang ke-15 itu kepada pemberita selepas memulakan tugas hari pertamanya di Wisma Sri Pahang di sini hari ini.

Sementara itu, Wan Rosdy yang juga bekas Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan berkata kerajaan negeri akan mengadakan perbincangan dengan kerajaan pusat berhubung beberapa projek mega di Pahang yang dalam proses pelaksanaan.

“Kita akan berbincang dengan dengan kerajaan pusat untuk meneruskan projek beberapa projek tertentu seperti Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dan Taman Perindustrian Malaysia-China Kuantan (MCKIP) kerana kita dapati ia memberi faedah kepada rakyat,” katanya.

Wan Rosdy mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang yang baharu bagi menggantikan Datuk Seri Adnan Yaakob yang telah menjawat jawatan itu sejak 1999 dalam satu istiadat di Istana Abu Bakar, pekan semalam.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.