UMNO Harus Kekal Teguh Demi Islam Dan Melayu


KUALA LUMPUR, 16 Mei – Setelah seminggu rakyat memilih kerajaan baru yang menggabungkan empat parti utama yang berpayung di bawah Pakatan Harapan, ramai mulai membicarakan mengenai masa depan UMNO. Tidak kurang juga di kalangan pendokong yang mulai gundah dan ada yang meninggalkan bahtera perjuangan.

Walau apa pun fenomena yang berlaku, hakikat dan fakta yang perlu diperakui oleh semua UMNO masih merupakan parti terbesar mewakili umat Islam dan Melayu. UMNO masih mempunyai 54 kerusi dan didokong lebih 3.5 juta rakyat dalam PRU ke-14. Berbanding Pakatan Harapan yang dikuasai 73 kerusi Bukan Islam dan Melayu hanya 41 kerusi mewakili Islam dan Melayu.

Ini bermakna perjuangan UMNO selaku parti utama yang mewakili umat Islam dan Melayu masih penting dan relevan. Bersama komponen-komponen lain, Barisan Nasional masih mempunyai 78 kerusi Sudah tentu peranan BN dan UMNO amat penting untuk memastikan suara rakyat terus dibawa sekurang-kurangnya sebagai anggota pembangkang yang efektif, dihormati dan menjadi pengimbang dalam memastikan negara terus dipacu dengan gemilang.

Alhamdulillah, Tan Sri Dr Zeti Akhtar Ahli Majlis Penasihat Kerajaan turut memperakui asas-asas ekonomi negara amat kukuh dengan lanskap makro ekonomi dan fiskal yang stabil malah rizab Bank Negara pada tahap tertinggi. Maknanya kerajaan baru mewarisi ekonomi negara yang kukuh hasil kejayaan pentadbiran terdahulu. Justeru inilah masanya untuk kerajaan baru menunaikan segala janji-janji mereka kepada rakyat demi kelangsungan kegemilangan negara.

Bagi UMNO sewajarnya bermuhasabah dan tidak perlu menuding jari kepada mana mana pihak di atas ujian kekalahan dalam PRU 14 yang lalu. Mungkin hikmah disebalik ujian Allah ini adalah untuk memastikan UMNO kembali kepada falsafah dan asas-asas perjuangannya yang asal sekaligus memperbaiki segala kelemahan dan keboborokan lantaran kelekaan dan kelalaian diri sendiri.

Justeru UMNO perlu bangkit dari kekalahan ini dengan jiwa yang lebih besar, jatidiri yang kental dan semangat juang yang tinggi demi menjamin hak dan suara rakyat benar-benar dipelihara dan dimartabatkan.

Oleh: Dr Asyraf Wajdi Dusuki

 

Komen Anda


6 months ago