Pemuda Zahir Sokongan Pulihkan UMNO, Suntik Semangat Perkukuh Akar Umbi


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menyatakan jaminan untuk memberi sokongan penuh bagi memulihkan dan menyuntik semangat kepada semua ahli parti di peringkat akar umbi.

Ketuanya Khairy Jamaluddin berkata, di masa yang sangat tenat sekarang ini, amatlah penting untuk mengekalkan perpaduan dalam Barisan Nasional (BN) dan UMNO terutama di kalangan ahli dan wakil rakyat.

“Kita perlu kekalkan perpaduan di dalam BN dan UMNO. Telah ada usaha untuk menarik keluar wakil rakyat tetapi adalah sangat penting untuk kita mengekalkan jumlah Ahli Parlimen dan ADUN BN yang telah dipilih rakyat pada PRU yang lepas.

“Ini adalah kerana proses pembinaan semula UMNO dan BN dari keruntuhan PRU-14 memerlukan bukan hanya ahli tetapi adalah mereka yang telah dipilih dalam pilihan raya untuk bersama-sama UMNO dan BN,” katanya dalam satu sidang media di pejabat Pemuda UMNO Malaysia , Menara Dato’ Onn di sini hari ini.

Jelas Khairy, semua pihak juga harus menerima prinsip utama iaitu tanggungjawab bersama dalam kekalahan BN pada PRU-14 yang lalu.

Jelas beliau, walaupun Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah melakukan tindakan yang terhormat iaitu melepaskan jawatan Presiden tetapi jika di anggap kekalahan ini hanya disebabkan oleh beliau seorang maknanya tidak ada pengajaran yang diambil.

“Penolakan bukan hanya kerana Datuk Seri Najib tetapi penolakan adalah terhadap BN. Dengan ini barulah kita dapat membawa perubahan yang total kepada parti ini. Kekalahan ini adalah tanggungjawab bersama.

“Kita perlu menerima yang kita memerlukan perubahan total dalam parti ini… apakah perubahan itu? Kita masih lagi tidak tahu… kena ada satu tempoh muhasabah diri sebelum kita memikirkan apakah bentuk perubahan dan apakah bentuk baru UMNO dan BN untuk beberapa tahun akan datang.

“Sambil menunggu itu, jangan lupa jalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat yang telah dipilih. Kita perlu laksanakan tanggungjawab sebagai pembangkang yang berwibawa,” jelas beliau lagi. – MediaUMNO