MT UMNO Rakam Terima Kasih, Hargai Jasa Najib Terajui Parti


KUALA LUMPUR, 14 Mei – Majlis Tertinggi (MT) UMNO hari ini mengucapkan penghargaan terhadap Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang telah meletak jawatan sebagai presiden parti dan juga Pengerusi Barisan Nasional (BN).

Pemangku Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata MT juga mengucapkan terima kasih kepada Najib yang telah memimpin UMNO selama ini.

“Beliau telah memimpin kami hampir sepuluh tahun dan kami merakamkan setinggi penghargaan kepada beliau atas kepimpinan baik yang telah diberikan dan kami sentiasa mengenang jasa dan budi beliau,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat MT khas di sini, hari ini.

Zahid seterusnya menegaskan parti juga mengambil maklum keputusan Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu dan menerima hakikat keputusan yang telah dibuat oleh rakyat namun UMNO mempunyai 54 ahli Parlimen daripada 78 ahli parlimen BN.

“MT telah berikan mandat kepada saya bahawa jika ada sebarang perundingan yang mahu dibuat bagi pihak UMNO dan BN ianya hendaklah dibuat secara ‘en bloc’ dan kita akan menggunakan segala kekuatan UMNO dan BN ini untuk mengadakan perundingan dengan sesiapa sahaja bagi pembentukan di dalam sebarang bentuk kerajaan atau sebagai pembangkang.

“Dalam hal ini MT telah memberikan mandat sepenuhnya kepada saya untuk mengadakan perundingan-perundingan dan juga langkah-langkah selanjutnya,” katanya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.