Tiga ADUN BN Mahu Sertai Pakatan Harapan Tidak Bermoral – Khaled

JOHOR, 13 Mei – Tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) semalam telah mengumumkan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), selepas Pakatan Harapan (PH) berjaya memenangi negeri ini pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) dianggap tidak bermoral.

Mereka ialah ADUN Johor Lama, Rosleli Jahari; ADUN Endau, Alwiyah Talib dan ADUN Sedili, Rasman Ithnain.

Tindakan mahu menyertai pihak lawan itu oleh pemimpin-pemimpin tempatan atau calon-calon UMNO dan BN yang memenangi PRU-14 lalu kini menjadi fokus dan perhatian.

“Walaupun tindakan tersebut merupakan satu kebebasan yang harus dihormati oleh parti dan tidak seharusnya dihalang secara keras dan tegas, namun parti beranggapan ia adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan tidak seharusnya dilakukan disebabkan oleh beberapa perkara.”

Demikian kata Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam satu kenyataan hari ini.

“Pertama, amalan demokrasi Malaysia semakin matang dan subur sejak beberapa PRU yang lalu menyaksikan kita beralih ke arah sistem dua parti yang dilihat dapat menawarkan satu proses semak dan imbang yang tegas, konstruktif dan berkesan kepada mana-mana parti yang memerintah.

“Malangnya, tindakan ini adalah sesuatu yang terkebelakang dan sangat tidak selari dengan aspirasi ini.”

Lebih-lebih lagi katanya, apabila kita amat sedar bahawa mana-mana parti yang kalah dalam PRU sangat diharapkan menjadi faktor timbal balik atau melakukan semakan, bagi memastikan parti yang memenangi pilihan raya dapat berfungsi dengan baik dan mengotakan janji mereka.

“Malah, kuasa semakan atau timbal balik ini yang diberi juga adalah satu bentuk khidmat kepada bangsa dan negara.

“Kedua, ia adalah satu tindakan yang tidak menyantuni prinsip dan jangkaan demokrasi.

“Ini kerana pihak lawan kepada sesuatu parti adalah pihak yang seharusnya menawarkan ideologi, dasar serta akujanji yang berlainan dengan pihak lain.

“Jadi, tindakan ini boleh dianggap sebagai tindakan yang membelakangkan ideologi, prinsip dan nilai yang selama ini diangkat dan dipromosikan oleh parti yang diwakili.”

Maka, tegasnya tidak keterlaluan ia boleh dianggap sebagai satu penghinaan serta pengabaian prinsip dan perkara ini sebenarnya terpakai kepada kedua-dua pihak iaitu parti yang ditinggalkan dan parti baharu yang disertai.

“Ketiga, tindakan ini adalah satu pengkhianatan kepada harapan, usaha keras dan kepercayaan semua pihak.

“Ini termasuklah kepimpinan parti asal, para pendukung, penyokong serta para pengundi yang telah mengundi dan memilih seseorang pemimpin tersebut di mana mereka telah bekerja, berkempen dan mengundi di bawah identiti parti yang diwakili oleh calon tersebut,” ujarnya lagi. – MediaUMNO

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.