Hari UMNO 72: Ahli UMNO Perlu Bangkit, Bina Semula Semangat Perjuangan Parti Keramat
KUALA LUMPUR, 11 Mei – Ahli-ahli UMNO perlu bangkit dan membina semula parti keramat ini dengan melakukan perubahan iaitu kembali kepada perjuangan asal dan menjadi parti untuk orang ramai.
Katanya, buat kali pertama dalam sejarah negara, pada Pilihan Raya Umum yang ke 14 (PRU-14) rakyat telah menolak Barisan Nasional (BN) yang ditunjangi UMNO hingga hilang kuasa di peringkat Kerajaan Persekutuan.
“Dengan rasa penuh hiba dan tawaduk, saya ingin mengucapkan selamat menyambut ulang tahun yang ke-72 kepada seluruh ahli UMNO. Sudah pasti ini bukanlah keadaan yang saya bayangkan bagi menyambut ulang tahun parti keramat kita. Namun demikian, inilah ketentuan Allah SWT dan inilah pilihan rakyat,” katanya dalam perutusan sempena ulang tahun UMNO ke-72 hari ini.
Jelas beliau, walaupun UMNO telah mendapat 47 kerusi Parlimen dan 129 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), dan seterusnya tetap mempunyai tanggungjawab di kawasan-kawasan yang dimenangi, keputusan ini adalah sangat-sangat mengecewakan.
“Saya faham, seluruh warga UMNO sedih dan ada yang marah akan keputusan PRU-14 ini. Saya sebagai Ketua Pemuda UMNO Malaysia, meminta maaf kepada ahli UMNO, kerana sebagai seorang pemimpin parti, saya tidak dapat membantu parti kita mencapai kemenangan pada kali ini.
“Sekarang bermulalah tugas yang sangat berat, iaitu tugas untuk membina semula parti keramat kita.
“Saya mahu kita kembalikan UMNO kepada semangat yang asal. Di mana UMNO tidak dilihat sebagai parti yang terpisah dari rakyat, parti untuk golongan atas sahaja, parti yang tidak kisah soal integriti, parti yang dianggap bongkak dan sombong.”
Tegas Ahli Parlimen Rembau itu lagi, beliau mahu UMNO kembali menjadi parti untuk orang ramai iaitu menjaga maruah orang Melayu, menjaga kemakmuran bersama kaum-kaum yang lain, parti yang tidak rasis dan benar-benar berjuang untuk semua lapisan masyarakat.
“Untuk kita kembali kepada UMNO yang asal ini, kita mesti melalui perubahan yang besar dalam parti. Kita mesti lakukan perubahan yang tidak pernah kita fikirkan. Yang kita perlukan hari ini ialah kejujuran yang mendalam, keberanian yang luar biasa dan pengorbanan yang pedih.”
Selaras dengan itu, beliau mengajak anggota parti untuk bersama-sama melaksanakan perubahan bermula dengan serta-merta.
“Kita tidak boleh tangguhkannya lagi. Jasa UMNO kepada agama, bangsa dan negara terlalu besar untuk kita biar parti keramat ini musnah dan hilang selama-lamanya.
“Patah sayap bertongkat paruh, namun menyerah tidak sekali. Mungkin hari ini, kita rasa sedih, kita rasa tidak berdaya, tiada sinar di hujung jalan, tetapi kalau kita kembali ke pangkal perjuangan yang sebenar dan mendengar suara rakyat serta ahli biasa yang mahu UMNO berubah, dengan izin Allah SWT, suatu hari nanti, insya-Allah, Rajawali perjuangan akan terbang ke langit semula,” katanya.
Begitu juga dengan kata-kata semangat yang dilontarkan oleh Ketua Puteri UMNO Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang menyeru semua ahli supaya melihat ke hadapan dan melakukan perubahan.
“Buat sahabat Puteri UMNO dan juga Ahli UMNO yang lain… Kita mesti melihat kehadapan. Kita kena bangkit dan lakukan perubahan. Ya, kita orang UMNO perlu mengubahnya.
“Kalau ada yang sudah berpaling, biarkan. Itu jalan yang mereka pilih. Tetapi tidak bagi saya. Saya akan bangkit, saya akan berjuang walaupun melalui kepayahan dan kesengsaraan. Saya percaya kepayahan ini yang akan menjadi kan nilai perjuangan UMNO ini Lebih bernilai dan bersemangat baru,” kata Ahli Parlimen Masjid Tanah itu. – MediaUMNO