Pelantikan MB Pahang Selepas Perkenan Istana

BENTONG, 10 Mei – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob hari ini, berkata pelantikan Menteri Besar Pahang akan ditentukan selepas mendapat perkenan Istana dalam masa terdekat.

Beliau berkata Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Raja Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad akan memilih calon yang sesuai untuk menjawat jawatan pemimpin nombor satu negeri ini.

“Bagi jawatan anggota mesyuarat kerajaan pula, perkara itu belum dapat ditentukan kerana Istana masih belum membuat keputusan tentang (pelantikan) menteri besar, maka itu akan menjadi perkara kedua,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Berdasarkan keputusan Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam, BN Pahang dapat membentuk kerajaan negeri dengan majoriti mudah selepas menang 25 daripada 42 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala PAS (lapan) dan Pakatan Harapan (sembilan).

Adnan berkata sebagai mewakili BN Pahang beliau berterima kasih kepada semua pengundi yang telah memilih BN sehingga masih dapat meneruskan pentadbiran negeri.

Mengulas mengenai pelaksanaan projek berimpak tinggi di Pahang oleh kerajaan Persekutuan sebelum ini, Adnan berharap ia akan diteruskan dengan jaminan kerajaan negeri akan memberikan kerjasama sepenuhnya.

Beliau berkata, pihaknya akan mengadakan ‘post mortem’ keputusan PRU14 dan dapatannya akan diserahkan kepada kerajaan negeri yang akan dilantik supaya penambahbaikan dapat dilakukan untuk memastikan kelangsungan BN pada masa hadapan.

“Secara keseluruhannya, mengambil kira apa yang dianggap tsunami, prestasi (BN) Pahang agak baik berbanding negeri lain.

“Walaupun kita hilang majoriti dua pertiga, kita masih memegang kuasa dengan majoriti mudah.. 25 berbanding 17 boleh dianggap sebagai majoriti besar dan boleh menyumbang kepada kerajaan yang stabil,” katanya.

Berhubung kehilangan lima kerusi DUN yang dimenangi UMNO sebelum ini, Adnan berkata dua daripadanya iaitu Jengka dan Panching sudah dijangkakan atas faktor komposisi pengundi walaupun wakil rakyat sebelumnya telah berkhidmat dengan baik pada penggal lalu.

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.