Dato’ Onn Jaafar

Datuk Onn Bin Datuk Jaafar (11 May 1946 – 26 Ogos 1951)

“Sekiranya UMNO ini sebenarnya bertujuan dan berkehendak mendirikan negara merdeka di dalam Malaya ini, maka saya berharap juga pihak UMNO ini akan memandang kepada pandangan yang luas, pandangan yang dikatakan nasional atau kebangsaan itu dan jangan semata-mata mengahdapkan pandangannya itu kepada pandangan yang sempit semata-mata, iaitu hidup hanyalah di bawah tempurungnya sendiri dengan tidak menghiraukan iaitu ada lain-lan tempurung yang terletak di sebelahnya”

Ucapan terakhir Dato’ Onn dalam persidangan
Perhimpunan Agung UMNO pada 1951

Biografi

Datuk Onn Jaafar di lahirkan pada tahun 1895 di Bukit Gambir, Jalan Gertak Merah, Johor Bharu. Beliau merupakan anak yang ketiga dari tujuh orang anak lelaki dan tujuh orang anak perempuan. Bapanya Datuk Jaafar bin Haji Muhammad iaitu Menteri Besar Johor yang pertama semasa pemerintahan Sultan Ibrahim. Datuk Jaafar berketurunan Bugis dan berasal dari Daik. Ibunya bernama Rugayah berasal dari Timur Dekat, berketurunan Turki. Datuk Onn di pelihara oleh Sultan Ibrahim sebagai anak angkat Baginda sejak berusia enam tahun.

Pendidikan asasnya bermula di Sekolah Melayu Johor Bahru. Sebelum dihantar ke England, beliau diasuh oleh wanita Inggeris bersama Tunku Mahkota Ismail, Tunku Abu Bakar dan Tunku Ahmad pada usia sembilan tahun. Kemudian belajar di sekolah Aldeburg Lodge di England selama enam tahun. Setelah tamat pelajaran di England beliau telah pulang ke tanah air, Johor pada 25 mac 1910 dan melanjutkan lagi pelajarannya di Maktab Melayu Kuala Kangsar.

Datuk Onn menamatkan zaman bujangnya dan bertemu jodoh yang pertama dengan Che’ Rafiah Binti Abdullah dan dikurniakan tiga orang anak iaitu Hawa, Rukiah dan Cik Salehah. Jodohnya dengan Rafiah tidak panjang kerana beliau telah kembali kerahmatullah selepas melahirkan Cik Salehah. Kemudian Datuk Onn berkahwin dengan Cik Jamilah Binti Othman dan dikurniakan seorang anak, Azmir. Walau bagaimanapun jodoh beliau dengan Cik Jamilah tidak panjang dan mereka bercerai dan Datuk Onn telah berkahwin pula dengan Datin Halimah Binti Husain dan dikurniakan enam orang anak iaitu Tun Hussein, Gharib, Major Ja’afar, Tahir, Nurziah dan Nel. Datuk Onn dan Datin Halimah hidup sebagai suami isteri selama 41 tahun.

Kerjaya Datuk Onn

Pada 1 September 1911 sewaktu berusia 16 tahun beliau mula berkhidmat dengan kerajaan Johor sebagai kerani pelatih di Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. Dua bulan kemudian berpindah ke Pejabat Setiausaha Kerajaan Johor. Dua bulan kemudian berpindah ke Pejabat Penasihat British (British Advisor).

Pada bulan Mei, 1912 bertugas sebagai Pembantu Kerani Besar Pejabat Perubatan dan dalam bulan Julai, 1912 beliau kembali ke pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri sebagai Pembantu Kerani Besar.

1 Ogos 1913, Datuk Onn bekerja di Pejabat Penasihat Undang-undang Johor, kemudian dalam bulan Oktober 1914 bekerja di Pejabat Imigresen Bahagian India dan pada tahun yang berikutnya bekerja di Pejabat Wang (Perbendaharaan) Johor.

Atas perintah Sultan Ibrahim, Datuk Onn berkhidmat sebagai kadet dalam Tentera Johor pada bulan Julai 1917, berakhir dengan pangkat Leftanen. Dari Bukit Timbalan Johor Bahru beliau dipindahkan ke Pejabat General Advisor. Di sini juga, beliau tidak lama berkhidmat kerana diberhentikan pada 31 Januari 1920 oleh Sultan Ibrahim disebabkan perselisihan faham dengan Baginda.

Beliau bersama-sama keluarganya telah berpindah ke Singapura. Di sana beliau berniaga kecil-kecilan termasuk kain, perkakas perak, tembaga, barang makanan seperti keropok dan sebagainya. Pada tahun 1922 beliau balik bekerja dengan Kerajaan Johor sebagai pegawai tambah sementara dalam pejabat tanah.
Pada 1 Januari 1923 beliau dilantik sebagai Ketua Pejabat Kawalan/Sekatan Getah di Muar. Tahun berikutnya dilantik sebagai Penolong Pemungut Hasil Tanah Muar dan kemudiannya berpindah ke Johor Bahru.

Beliau juga pernah bekerja sebagai wartawan di dalam Syarikat Warta Malaya kepunyaan Syed Husin Alsagof dari tahun 1930 hingga 1933. Kemudiannya dalam tahun 1934, beberapa orang dari Syarikat Warta Malaya menerbitkan Mingguan Lembaga Malaya dan Harian Lembaga. Datuk Onn bertindak sebagai pengarangnya.

Pada tahun 1936 Datuk Onn dilantik oleh Sultan Ibrahim sebagai ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Johor. Walau bagaimanapun, Datuk Onn telah menerima dengan syarat beliau bebas mengeluarkan pendapat. Pada 1 Jun 1938 beliau dilantik pula sebagai Setiausaha sulit kepada Tunku Mahkota Johor, membuat kerja yang dititah oeh Sultan sama ada peribadi, kerja istana atau kerajaan.

Datuk Onn telah mengetahui Pavilion Johor dalam pameran yang diadakan di San Francisco, Amerika Syarikat dalam tahun 1938.

Oleh kerana sumbangan dan rapatnya hubungan Datuk Onn dengan Sultan, kedudukan Datuk Onn sangat penting kepada Sultan. Apabila meletusnya Perang Dunia dan pendudukan Jepun di Tanah Melayu, Datuk Onn menjadi Ketua Pejabat Kawalan Makanan Negeri Johor mula 1 Januari 1942 hingga tahun 1945.

Sumbangan Datuk Onn

Pada awal tahun 1946, beliau menubuhkan Persatuan Melayu Semenanjung Johor yang sebagai Yang Dipertua. Dalam bulan Mac 1946, perwakilan-perwakilan dari berbagai persatuan Melayu bertemu dalam Kongres Melayu pertama yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman Kuala Lumpur mencapai keputusan akan menubuhkan satu dan yang mewakili orang melayu menentang Malayan Union.

Kongres Melayu ketiga diadakan di Istana Besar Johor Bahru pada bulan Mei 1946. Kongres inilah yang melahirkan UMNO dengan Datuk Onn sebagai yang Di Pertuanya yang pertama. Dalam tahun ini juga iaitu pada 1 Oktober 1946, Sultan Ibrahim melantik Datuk Onn Datuk Jaafar sebagai Menteri Besar Johor.

Saudara-saudaranya, Datuk Abdullah dan Datuk Mustafa pernah dilantik ke jawatan tersebut.

Setelah berkhidmat selama tiga tahun, Datuk Onn meletakkan jawatan itu untuk menumpukan sepenuh masa kepada UMNO selepas Sultan Ibrahim memberi amaran kepadanya sama ada mahu memilih berkhidmat dengan kerajaan atau memimpin UMNO. Datuk Onn memilih untuk terus berkhidmat sebagai Yang Dipertua UMNO. Pada tahun 1946, kepimpinan Datuk Onn menentang penjajahan secara politik sehingga tumbangnya Malayan Union dan tertubuhnya Persekutuan Tanah Melayu.

Perjanjian Persekutuan Tanah Melayu 1948 telah memelihara semula kedudukan Raja-Raja Melayu, memperketatkan syarat-syarat kerakyatan bagi orang-orang asing dan memberi beberapa hak keistimewaan kepada orang-orang Melayu.

Usaha-usaha Datuk Onn untuk mengembalikan kedudukan orang-orang Melayu, beliau telah mengemukakan cadangan supaya keahlian UMNO dibuka kepada lain-lain bangsa tetapi mendapat tentangan di kalangan Majlis Mesyuarat Agung UMNO disebabkan oleh suasana Kebangsaan Melayu ketika itu tidak sanggup menerima perubahan radikal seperti itu. Hasrat dan cita-citanya untuk memartabatkan bangsa melayu diteruskan dengan pelbagai cadangan dan tindakan. Pemerhatian yang dibuat oleh Datuk Onn ada dinyatakan didalam ucapannya :

“Layanan yang berat sebelah itu pula tidak terhad kepada pegawai-pegawai British sahaja tetapi diluaskan kepada tiap-tiap orang Eropah di dalam pekerjaan Kerajaan. Di dalam soal gaji, rumah-rumah kediaman dan di dalam berbagai-bagai cara lain lagi terdapat layanan yang sama itu diketepikan. Apa yang melukakan hati saya ialah hakikat bahawa hinggakan pegawai-pegawai kanan Melayu yang berada di dalam perkhidmatan awam itu telah tertolak ke bawah oleh satu dasar yang menjadi dasar untuk memajukan pentadbir-pentadbir bagi jawatan yang lebih tinggi itu.”

Dalam persidangan Majlis Mesyuarat Agung Keenam pada 25 dan 26 ogos Datuk Onn melepaskan jawatan sebagai Yang DiPertua UMNO disebabkan oleh tentangan tersebut. Berbagai-bagai tafsiran boleh diberi terhadap syor-syor Datuk Onn dan ia sendiri pernah dituduh sebagai tidak berkepentingan Melayu.

Sebenarnya Datuk Onn telah mendahului zamannya; orang-orang melayu masih tidak dapat bersetuju UMNO menerima keahlian semua kaum sahaja. Begitu juga kelonggaran dalam syarat-syarat kerakyatan untuk kaum-kaum lain masih belum dapat diterima walaupun kemudiannya dan dalam penggubalan perlembagaan Malaya Merdeka syarat-syarat lebih longgar diberi keada kaum-kaum lain.

Malah UMNO sendiri sebelum Merdeka telah bekerjasama dengan kaum-kaum lain melalui parti Perikatan (yang bagaimanapun mengekalkan identiti parti-parti di dalamnya).

Datuk Onn yang telah dilantik oleh Kerajaan British sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri telah dapat melihat dari dalam masalah-masalah pentadbiran dan politik negara. Mungkin kerana itu, merasakan perlu kerjasama secara lebih rapat dengan kaum-kaum lain dan mempercayai bahawa bimbingan dari British adalah perlu bagi memajukan orang-orang melayu sebelum mencapai kemerdekaan.

Beliau dituduh sebagai orang pro-British kerana duduk dalam kabinet kerajaan penjajah, tetapi kemudiannya UMNO juga membenarkan seornag wakilnya menerima tempat dalam kabinet itu. Sewaktu di dalam kabinet kerajaan penjajah, Datuk Onn telah dilantik menjadi Pengerusi RIDA, sebuah badan yang bertujuan untuk meninggikan kedudukan ekonomi orang-orang Melayu. Dalam bidang pelajaran, nama Datuk Onn terkenal dengan minatnya terhadap kemajuan anak-anak Melayu yang membuahkan antara lain ‘Biasiswa UMNO’ sewaktu beliau dalam parti ini.

Setelah meninggalkan UMNO Datuk Onn menubuhkan Parti Kemerdekaan Malaya tetapi tidak berjaya mendapat sokongan orang-orang Melayu. Pada tahun 1954, beliau menubuhkan pula Parti Negara sebagai membuat persediaan menghadapi pilihanraya Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1955, Datuk Onn dan partinya tidak berjaya dalam pilihanraya itu, namun tidak berputus asa bagi mendapatkan tempat dalam politik tanahair.

Beliau berjaya juga mendapat kerusi, mewakili kawasan Parlimen Kuala Terengganu Selatan dalam pilihanraya Persekutuan dalam tahun 1959. Dengan seorang diri mewakili partinya beliau cuba menyampaikan pendapat-pendapat politiknya dalam sebuah Dewan yang mengandungi ahli-ahli dari UMNO Perikatan dan parti-parti lain.

Pada tahun 1962, Datuk Onn menghembuskan nafasnya yang terakhir di Johor Bahru. Perjalanan perjuangan Datuk Onn adalah sebahagian daripada sejarah Tanah Melayu kita selepas perang dunia kedua. Walau apapun tanggapan terhadapnya, tiada siapa pun dapat melupakan jasa baktinya kepada parti, bangsa dan negara.

Sebagai seorang pejuang, pendukung keamanan beliau mempunyai pendirian politiknya yang tersendiri. Kepintaran dan kegigihannya tidak ada tolok banding di waktu beliau berada di mercu politik UMNO dan tanahair sehingga diperakui semua kalangan. Beliau seorang tokoh politik nasionalis dengan keupayaan intelektual yang tinggi walaupun tidak menjejak kaki di Universiti. Beliau juga pemidato dan juga pengarang yang terkenal dengan kebolehan bahasa ynag menakjubkan. Dalam lima tahun yang intensif sewaktu pergolakan politik tanahair paling memuncak beliau wujud untuk memegang teraju pimpinan orang-orang melayu dan membentuk corak olitik yang akan diikuti kemudian.

Dato’ Onn menghembuskan nafas terakhirnya pada Jumaat, 19 Januari 1962 di Johor Baharu.

Terima Kasih Atas Sokongan Anda