Melaka Arah Majikan Pindahkan Pekerja Asing Ke Asrama Berasingan
Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata pemindahan itu yang dikuatkuasakan di bawah Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446), akan dilaksanakan dalam masa terdekat bagi membendung penularan COVID-19 berikutan kewujudan kluster dan peningkatan kes melibatkan sektor industri.
“Kita mengambil langkah ini supaya mereka tidak bergaul dengan masyarakat setempat di kawasan perumahan berikutan kebimbangan penduduk terhadap risiko jangkitan,” katanya kepada pemberita selepas Program Outreach Vaksinasi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Linggi di sini hari ini.
Hadir sama, Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Linggi Datuk Ismail Othman dan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) Melaka Habibah Jaafar.
Sebagai contoh Sulaiman berkata, terdapat lebih 3,000 pekerja asing di kawasan Ayer Keroh yang telah diarahkan untuk berpindah ke beberapa lokasi, seperti bangunan berdekatan Melaka Sentral yang boleh menempatkan 1,400 orang, selain bangunan Perbadanan Ketua Menteri (CMI) yang kosong.
“Ini dilihat sebagai kaedah terbaik untuk asingkan pekerja asing dengan penduduk setempat pada masa ini dan sekiranya ada majikan yang ingkar kita akan ambil tindakan tegas di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya. – BERNAMA