Minyak Masak: Manfaatkan Cukai ‘Windfall’ Untuk Bantu Pembeli

KITA tahu: Harga minyak masak dalam botol sememangnya tidak lagi disubsidi oleh Kerajaan selepas 2016.

Kita faham: Apabila harga kelapa sawit mentah (CPO) meningkat, harga minyak masak juga akan meningkat. Ekoran kenaikan harga CPO sejak tahun lepas, harga minyak masak tidak bersubsidi juga meningkat mendadak – sebotol minyak masak 5kg berharga lebih daripada RM30.

Tetapi adakah bermaksud Kerajaan tiada kuasa atau pilihan buat apa-apa?

Kerajaan mengutip hasil berkaitan kelapa sawit seperti duti eksport CPO dan juga cukai keuntungan luar biasa (windfall tax) kepada syarikat-syarikat kelapa sawit apabila harga CPO melebihi RM2,500/metrik tan di Semenanjung Malaysia dan melebihi RM3,000/metrik tan di Sabah dan Sarawak.

Ini bukan cukai baru yang dicadangkan. Ini cukai sedia ada.

Belum lagi termasuk cukai pendapatan korporat yang dikutip daripada syarikat-syarikat tersebut seperti Sime Darby, FGV, IOI, KLK, Genting Plantations, United Plantations dan lain-lain.

Menteri Industri Perladangan dan Komoditi sendiri mengakui bahawa Kerajaan akan mengutip hampir RM300 juta bagi 3 bulan yang pertama 2021 sahaja melalui ‘windfall tax’ ini.

Jika harga kekal tinggi maka Kerajaan akan mengutip lebih RM1 bilion tahun ini. Berbanding seluruh tahun lepas, Kerajaan mengutip RM348 juta ‘windfall tax’ ke atas syarikat perladangan kelapa sawit.

Maka lebihan hasil Kerajaan ini cukup untuk menampung perbelanjaan berkaitan mengurangkan beban rakyat yang menanggung kenaikan harga minyak masak.

Selain daripada memperketatkan penguatkuasaan untuk menghapuskan ketirisan yang menyebabkan minyak masak bersubsidi (1kg) tak sampai ke golongan sasar, berikut beberapa ‘option’ untuk pertimbangan pihak Kerajaan:

1. Program subsidi minyak masak botol bersasar kepada isi rumah B40 dan M40 dalam bentuk harga yang lebih rendah mengikut data BPR sedia ada di bawah seliaan LHDN. Pembelian minyak masak mengikut had kuota setiap isi rumah yang bersesuaian.

Jika tidak mahu,

2. Penambahan program bantuan tunai BPR kepada kumpulan B40 dan M40. Apatah lagi, jumlah bantuan Pemerkasa+ yang diumumkan baru-baru ini tidak cukup memuaskan dan telah diulas banyak pihak.

Jika tidak mahu juga,

3. Tambah kuota subsidi minyak masak 1kg di bawah Program COSS melebihi jumlah sedia ada, di samping mengetatkan penguatkuasaan bagi mengelakkan ketirisan

Benar, kenaikan harga CPO mampu memberi manfaat kepada pengeluar termasuk peneroka Felda dan pekebun kecil – itupun jika pengeluaran mereka tidak terlalu rendah.

Yang jelas untung adalah pengeluar/syarikat besar. Yang jelas dapat pulangan adalah Kerajaan melalui cukai yang telah disebut di atas.

Tetapi kesan akhir kepada isi rumah B40 dan M40 lebih penting.

Jumlah nilai eksport, nilai KDNK dan sebagainya tiada erti bagi mereka jika lebih tertekan dengan kenaikan harga barang asas. – UMNO ONLINE

Shahril Hamdan
Ketua Penerangan UMNO Malaysia /
Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.