RM7.8 Juta Bantu Rakyat Pahang Terkesan PKP 3.0, PKPD – Wan Rosdy

KUANTAN, 24 Mei – Kerajaan negeri Pahang memperuntukkan RM7.8 juta bagi pelaksanaan Bantuan Prihatin Pahang COVID-19 secara bersasar kepada mereka yang terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dan PKP Diperketatkan (PKPD) di negeri ini.

Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata persediaan sewajarnya sedang dilakukan supaya bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan itu dapat diagihkan kepada penerima yang layak dengan segera.

“Antara golongan yang akan menerima manfaat ini ialah petugas barisan hadapan, penjaja harian, pemandu teksi, gelandangan, miskin tegar, orang kurang upaya (OKU) dan warga emas penerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berusia 80 tahun ke atas.

“Selain itu, bantuan ini juga diberikan kepada pesakit aktif COVID-19 termasuk mereka yang sedang menjalani kuarantin di rumah,” katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Wan Rosdy berkata pemberian bantuan itu disediakan mengikut kemampuan kewangan negeri dan berharap ia membantu penduduk yang terkesan dengan pelaksanaan dua perintah tersebut yang dilakukan bagi membendung penularan wabak COVID-19.

Beberapa lokaliti di Kuantan, Temerloh, Raub dan Jerantut kini dikenakan PKPD berdasarkan penilaian risiko penularan wabak itu manakala kawasan lain di Pahang dikenakan PKP 3.0 mulai 12 Mei lalu, kecuali daerah Kuantan yang bermula dua hari lebih awal. – BERNAMA

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.