COVID-19: 1,247 Kes Baharu, Selangor Kekal Catat Kes Tertinggi

KUALA LUMPUR, 25 Dis – Sebanyak 1,247 kes baharu COVID-19 dan tiga kematian direkodkan dalam tempoh 24 jam lalu dengan Selangor terus merekodkan jumlah kes harian baharu tertinggi, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Dr Noor Hisham berkata pertambahan kes baharu itu menjadikan jumlah terkumpul kes positif COVID-19 di negara ini sebanyak 101,565 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan 18,576 kes.

Katanya daripada kes baharu hari ini, 461 kes direkodkan di Selangor.

“Daripada jumlah itu, 309 kes adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontrak rapat COVID-19 yang aktif dijalankan di lapangan,” katanya mengenai perkembangan situasi semasa COVID-19 hari ini.

Beliau berkata Sabah merekodkan jumlah kedua tertinggi iaitu 225 kes diikuti Johor (205 kes), Kuala Lumpur (140), Negeri Sembilan (89), Perak (55), Pulau Pinang (25), Melaka (14), Pahang (11), Labuan (8), Putrajaya (7), Kelantan (4) dan Sarawak (3).

Sejumlah 211 kes pula berkaitan kluster-kluster di lokap, depoh tahanan imigresen dan penjara membabitkan Kluster Tembok Gajah (113 kes), Kluster Penjara Jalan Harapan (86), Kluster Tembok (8) dan Kluster Pompod (4).

Dr Noor Hisham berkata sebanyak 1,441 kes pulih direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif sembuh ialah 82,540, manakala 108 kes positif COVID-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dengan 47 kes memerlukan bantuan pernafasan.

Memperincikan kes kematian hari ini, Dr Noor Hisham berkata ia melibatkan seorang lelaki berusia 76 tahun di Hospital Lahad Datu, Sabah dan seorang wanita berumur 64 tahun di Hospital Sungai Buloh. Kedua-duanya adalah warga tempatan.

Satu lagi kematian ialah seorang lelaki bukan warganegara berusia 65 tahun di Hospital Duchess of Kent, Sandakan.

Beliau berkata perkembangan baharu itu menjadikan kumulatif kes kematian akibat COVID-19 di negara ini sebanyak 449 kes. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.