Kerajaan PH Masih Terbawa-Bawa Pendekatan Kosmetik dan Usaha Balas Dendam – Annuar


KUALA LUMPUR, 24 Julai – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memaklumkan bahawa rakyat mula kembali resah dan gusar apabila banyak janji-janji yang tidak dapat ditunaikan ekoran pembawaan kerajaan Pakatan Harapan (PH) masih lagi diselubungi dengan sentimen-sentimen yang tertumpu kepada usaha membalas dendam dan terbawa-bawa dengan pendekatan kosmetik.

Katanya, rakyat sebenarnya menunggu-nunggu perubahan yang lebih baik kepada negara selepas berlakunya proses demokrasi dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

“Pada masa ini tanggungjawab kerajaan adalah memberikan keyakinan yang berterusan kepada rakyat yang telah memilih mereka agar mereka dapat melakukan sesuatu yang lebih baik bagi negara sementara pembangkang juga tetap akan mempunyai peranan.

“Apabila kerajaan bertukar maka perkara yang lebih baik kepada rakyat diharapkan dan kami ingin mendengar apakah perkara-perkara yang ingin ditambahbaik kerana kerajaan yang ada hari ini belum lagi memberikan sesuatu melainkan menyalahkan yang lama, mengungkit cerita lama dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam ucapan menyokong usul menjunjung kasih ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang Di-Pertuan Agong di Parlimen hari ini.

“Rakyat sedang melihat beberapa kebobrokan yang sedang berlaku. Prinsip yang sedang dilanggar kerajaan, ‘rules of law’ kerana mana mungkin kerajaan sekarang membentuk Majlis Penasihat Kerajaan (CEP) dan CEP itu dilihat lebih berkuasa dari Menteri sendiri.

“Mana boleh anggota CEP memanggil hakim untuk mengadap mereka, memanggil seorang menteri kanan mengadap anggota CEP. Paling memeranjatkan seolah-olah menteri tak ada wibawa sehinggakan urusan hubungan diplomatik diutuskan anggota CEP… dimana perginya Menteri Luar, Timbalan Menteri hinggakan anggota CEP dilihat lebih besar dari menteri.”

Tegasnya yang juga Ahli Parlimen Ketereh, hormatilah prinsip-prinsip ‘rules of law’, peranan anggota kabinet dan wakil rakyat yang dipilih.

“Hari ini kita ingin bertanya kepada kerajaan apakah janji dan apakah sasaran yang akan ditetapkan oleh kerajaan yang setidak-tidaknya mengekalkan prestasi yang telah ditinggalkan oleh kerajaan terdahulu iaitu Barisan Nasional (BN).

“Kalau BN telah tinggalkan rizab 440 bilion maka kerajaan baru haruslah meletakkan satu indeks yang sekarang ini telah mula susut hampir 6 bilion untuk diletakkan pada satu tahap yang lebih baik dan lebih tinggi dari zaman BN.

“Kalau KDNK ditinggalkan oleh BN berada pada 5.9 ke tahap 6.2 peratus kita ingin mendengar dari kerajaan baru berkaitan sasaran berapakah pertumbuhan KDNK negara yang sekarang ini meramalkan penurunan kepada tahap 5 ke 4 peratus.”

Tambahnya, tidak ada sebab PH yang berada dalam kerajaan untuk terus fobia dengan masa-masa lampau. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit