Paip Dari Kemaman Atasi Masalah Air Di Kawasan Perindustrian Gebeng

KUANTAN, 11 Dis – Masalah kekurangan bekalan air terawat di Gebeng di sini, dijangka selesai dengan pembinaan paip sepanjang 29 kilometer (km) dari Kemaman, Terengganu ke kawasan perindustrian itu, kata Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata pelaksanaan Projek Pembinaan Paip Agihan Air Kemaman-Gebeng menggunakan peruntukan sebanyak RM115 juta dijangka mengambil masa selama 18 bulan selepas dimulakan pada Jun tahun hadapan.

“Pelaksanaan projek ini diterajui Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) melibatkan paip sepanjang 24 km di Pahang dan bakinya di Terengganu dengan jangkaan dapat membekalkan lebih 90 juta liter air sehari, apabila siap kelak.

“Kita berharap langkah ini dapat menarik minat pelabur memilih Gebeng sebagai lokasi pelaburan memandangkan di situ terletaknya Taman Perindustrian Kuantan Malaysia-China (MCKIP),” katanya.

Wan Rosdy berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran dokumen perjanjian pinjaman pelaksanan projek itu antara kerajaan negeri Pahang diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dengan ECERDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutifnya Baidzawi Che Mat di pejabat ECERDC di sini, hari ini.

Sementara itu, Baidzawi berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas sokongan kepada pelaksanan projek tersebut yang disifatkan kritikal untuk industri yang sudah bertapak di kawasan perindustrian terbabit.

“Pembekalan air yang baik dapat membantu mengekalkan pelaburan sedia ada selain berperanan sebagai pemangkin bagi menarik lebih banyak pelaburan baharu dan pembangunan di Pahang, sekali gus memberi manfaat kepada penduduk di negeri ini,” katanya. – BERNAMA

@umnoonline

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.