Suntik Dana Ke Tangan Rakyat Supaya Ekonomi Boleh Dirancakkan – Najib

KUALA LUMPUR, 15 Nov – Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak menyatakan kerisauan utamanya mengenai Bajet 2021 yang cuma 2.5% atau RM8b lebih tinggi berbanding perbelanjaan kerajaan tahun 2019.

Jelas bekas Menteri Kewangan itu, jika ketika itu bajet 2019 tidak dapat menyelamatkan ekonomi negara pada masa tanpa COVID-19 dan merosot sehingga paling teruk sejak 11 tahun lalu, bagaimana pula Bajet 2021 yang cuma 2.5% lebih besar mampu selamatkan ekonomi rakyat pada ketika wabak tersebut mengganas seluruh dunia.

“Itulah sebab saya tuntut pengeluaran akaun 1 KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) dan lanjutan moratorium.

“Dan ianya juga benar dan diperakui dalam laporan ekonomi bahawa pemulihan KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) bagi suku 3 2020 yang baru diumum minggu lepas telah banyak dibantu oleh pengeluaran KWSP melalui skim i-Lestari yang dicadangkan saya masa itu serta moratorium pinjaman secara pukal dan secara automatik (yang sudah tamat).

“Kedua-dua cara ini tidak melibatkan perbelanjaan kerajaan dan tidak memberi impak kepada defisit negara,” tambah Najib yang juga Perdana Menteri Keenam dalam satu hantaran di Facebook.

Najib yang juga Ahli Parlimen Pekan juga mengucapkan terima kasih kepada Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari yang memuat naik di Facebooknya mengenai isu-isu yang timbul berkaitan cadangan pelanjutan moratorium automatik dan pengeluaran Akaun 1 KWSP.

“Terima kasih Ustaz. Saya tak pernah ambil hati dan kita tetap kawan.

“Perlu maklum ialah lanjutan moratorium pinjaman telah disaran Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi), Pemuda UMNO dan saya sejak bulan Julai lalu tanpa dibalas,” katanya.

Mengulas lanjut, Najib juga melihat bahawa pemulihan ekonomi pada suku ketiga (walaupun masih negatif) banyak disumbangkan oleh eksport sektor elektronik dan sektor sarung tangan serta penjualan kereta domestik yang melonjak naik akibat pengecualian cukai jualan.

“Namun, jumlah pekerja (termasuk pekerja asing) sektor pembuatan elektronik cuma 500 ribu orang manakala jumlah pekerja sektor sarung tangan yang banyak bergantung kepada mesin cuma 71,800 orang di mana 28,000 adalah warga tempatan dan 43,800 pekerja asing.

“Penjualan kereta domestik juga tidak dapat bertahan dan hanya menguntungkan bank yang diberi peluang membuat pinjaman baru dan akan membebankan pembeli untuk tahun-tahun mendatang.

“Strategi pengecualian cukai jualan bagi kereta yang banyak bergantung kepada import komponen ini pernah dilakukan oleh kerajaan PH (Pakatan Harapan) pada tahun 2018 dan akhirnya ianya terbukti apabila ekonomi terus merudum selepas itu,” ujarnya.

Seterusnya, melihat keadaan tersebut di mana jumlah pekerja untuk sektor-sektor tersebut adalah terhad, Najib melahirkan kebimbangan dengan ekonomi rakyat kerana sektor-sektor lain yang melibatkan jumlah pekerja paling banyak seperti sektor runcit, sektor pelancongan (3.5 juta pekerja), sektor hiburan, Perusahaan Kecil dan Sederhana (SME) dan peniaga kecil masih terjejas dan tidak banyak menerima manfaat serta tidak merasa terbela dalam Bajet 2021.

“Sebab itu, saya sarankan supaya lebih banyak dana disuntik terus ke dalam tangan rakyat pada masa paling susah supaya ekonomi boleh dirancakkan dan kesusahan rakyat yang dibuang kerja serta mereka yang tidak dibuang kerja tetapi pendapatan mereka telah turun mendadak boleh diubat sedikit.

“Itulah asas cadangan-cadangan saya sebab saya tak mahu strategi yang salah menghantui rakyat dan negara pada masa kelak sedangkan bank-bank dan KWSP mampu memenuhi kedua-dua syarat ini tanpa menjejaskan mereka,” tegasnya. – UMNO ONLINE

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit