Jangan Leka Kemenangan PRK, Jadikan Sungai Besar Dan Kuala Kangsar Sebagai Iktibar – Sharkar
TEMERLOH, 31 Ogos – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Sharkar Shamsudin mengingatkan kepada setiap ahli UMNO agar jangan terleka dengan kemenangan di Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim.
Jelas beliau, walaupun kemenangan tersebut menambah kegembiraan selepas Barisan Nasional (BN) menang di enam PRK yang lalu tetapi itu kemenangan di PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dahulu harus dijadikan iktibar.
“Ye betul, kita patut gembira dengan kemenangan ini malah saya juga gembira tetapi jangan sesekali kita gembira sehingga menjadi leka. Kemenangan ini bukan bermakna kita sudah Berjaya ataupun rakyat kembali sepenuhnya kepada kita.
“Perjuangan kita masih besar kerana objektif kita adalah kemenangan dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) nanti. Kita harus jadikan semua kemenangan ini sebagai pembakar semangat untuk kita terus berusaha dan memastikan kemenangan di pihak kita.
“Kini, paling hampir adalah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah. Walaupun Sabah telah diberi autonomi tetapi ini juga boleh dijadikan kayu ukur untuk menuju ke PRU-15,” ujar beliau kepada UMNO-Online.
Tambah Sharkar yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Lanchang, semua ahli UMNO juga harus berwaspada kerana pihak lawan tidak akan berdiam diri menyaksikan kemenangan demi kemenangan ini.
“Sudah pasti pihak lawan akan melakukan pelbagai cara untuk merosakkan penyatuan yang telah kita bina khususnya menerusi Muafakat Nasional (MN). Ini telah terbukti sehinggakan rakyat terpengaruh dan menyebabkan BN tumbang pada PRU-14.
“Jadi, jangan kita biarkan semua ini berulang. Kita harus berhati-hati dan meneruskan kerja membantu rakyat. Saya percaya, sekiranya kita terus bersatu dan tidak menari mengikut gendang yang dipalu oleh pihak lawan, insya-Allah kita akan menang dalam PRU-15 dengan jayanya,” jelas beliau. – UMNO ONLINE
Oleh: Azlina Rosdy