Pemuda BN Tubuh ‘Task Force’ Tumpu Permasalahan Ekonomi Anak Muda Pasca COVID-19

KUALA LUMPUR, 15 Julai – Pemuda Barisan Nasional (BN) akan menubuhkan ‘task force’ dalam usaha untuk merungkai permasalahan ekonomi yang membelenggu golongan muda di negara ini pasca COVID-19 sebagai jalan membantu golongan berkenaan.

Pengerusinya Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata pasukan tersebut seterusnya akan turut memberikan cadangan kepada kerajaan terutama untuk dimasukkan serta dipertimbangkan dalam bajet 2021 nanti dan dalam Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12).

Menurut beliau antara fokus utama ‘task force’ ini ialah melihat soal jaminan pekerjaan untuk anak-anak muda atau skim jaminan pekerjaan melalui pelbagai inisiatif termasuk inovasi sosial dan perkara berkenaan antara perkara yang akan diperjuangkan.

“Kita akan bergerak ke seluruh negara dalam masa terdekat untuk berjumpa dengan pelbagai kelompok anak muda termasuklah NGO mahupun persatuan belia bagi mendapatkan maklum balas mereka dan juga untuk kita memperincikan lagi apa juga cadangan yang kita fikirkan perlu dalam kerangka untuk memperkasakan ekonomi anak muda pasca COVID-19.

“Ini penting kerana hari ini Pemuda BN bukan lagi sebagai pemuda parti pembangkang tetapi kita adalah sebahagian daripada kerajaan. Peranan kami sudah tentu mesti diadaptasi dengan senario semasa sebagai fasilitator atau penghubung antara rakyat khususnya anak muda dengan pihak kerajaan.

“Semua tahu hari ini negara bakal berhadapan dengan suasana yang mencabar dalam konteks ekonomi dunia bukan kerana kita sahaja tetapi adalah rentetan daripada ekonomi global akibat daripada COVID-19 dengan kadar pengangguran yang semua tahu makin meningkat, keadaan rakyat yang pastinya akan lebih susah dan resah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Pemuda BN, di sini, hari ini.

Sebelum ini soal jaminan pekerjaan untuk anak muda telah dibangkitkan oleh Ketua Penerangan UMNO yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Shahril Hamdan.

Menurut Shahril, setelah beberapa bulan menyesuaikan diri dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan norma baharu susulan krisis COVID-19, kerajaan perlu tampil dengan fasa bantuan dan intervensi seterusnya.

“Apabila ekonomi masih suram, pengangguran meningkat, syarikat masih dalam keadaan waspada untuk pengambilan pekerja mahupun pelaburan, dan meskipun tahap jangkitan menunjukkan trend penurunan yang baik, aktiviti ekonomi tidak semestinya akan segera rancak semula secara automatik.

“Beberapa gesaan untuk kerajaan antaranya bantu para pengusaha dan syarikat mengadaptasi kepada SOP dan norma baharu. Insentif komponen digital dan automasi, moratorium perundangan, skim latihan dan penempatan kerja terutamanya untuk mereka yang menganggur akibat COVID-19. Skim jaminan kerja serta semak semula kemampuan dan kesediaan untuk meneruskan Bantuan Prihatin Nasional atau apa sahaja bentuk ‘cash transfer’ kepada golongan berisiko,” ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Dr Asyraf turut menegaskan pergerakan itu juga sepakat untuk mengembalikan nilai-nilai Malaysia yang asal dan bukannya Malaysia baru yang telah dirosakkan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Hal berkenaan kata beliau perlu terutamanya apabila akar-akar yang membina asas-asas negara ini telah banyak dirobek khususnya dalam hubungan antara kaum dan juga agama yang perlu dikembalikan nilai-nilai Malaysia sebagai menjadi teras kepada kekuatan kepada kemajmukan Malaysia yang berbilang agama dan kaum.

“BN selama 61 tahun memerintah dan selama ini telah membuktikan model itu adalah antara model yang terbaik dengan penambahbaikan atas segala mungkin kelompongan serta kelemahan yang ada tetapi tidak bermakna kita menafikan model Malaysia yang telah kita berjaya bangunkan selama ini, yang telah menjadi asas negara baik dari segi politik, ekonomo mahupun sosial yang terdiri daripada kepelbagaian agama dan juga bangsa.

“Pemuda BN hari ini yang di dalamnya termasuk Pemuda UMNO, Pemuda MCA, Pemuda MIC dan juga rakan kita daripada Sabah, Pemuda PBRS sepakat bahawa kita perlu untuk sama-sama mempromosikan agenda mengembalikan Malaysia yang asal… nilai-nilai Malaysia yang asal yang menjadi teras kepada kekuatan negara,” ujarnya lagi.- UMNO Online

Oleh: Azman Abas

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.