Kerajaan PH Selangor Dipersoal Naikkan Kadar Sewa, Tindakan Tak Munasabah


PETALING JAYA, 11 Jun – Kerajaan Negeri Selangor yang diterajui Pakatan Harapan (PH) dibidas ekoran langkah yang tidak munasabah terhadap para penjaja khususnya penjaja-penjaja kecil di pasar Jalan Othman, di sini.

Adzly Ab Manas dari Kumpulan Peguam Sukarelawan UMNO yang mewakili para penjaja melahirkan rasa terkilan ekoran tindakan yang diberikan oleh kerajaan negeri Selangor hinggakan penjaja-penjaja di sini tertekan akibat kenaikkan kadar sewa yang terlalu tinggi.

“Mereka tertekan dengan kadar sewa yang tidak munasabah dan terlalu mahal iaitu dari RM90 kepada RM500, ia melebihi 40 peratus kadar penyewaan … ini yang saya nak tanya kepada kerajaan negeri Selangor, PH dan juga Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Datuk Bandar dan juga pegawai-pegawainya. Kenapa tindakan tidak munasabah dikenakan kepada peniaga-peniaga ini? Lebih 500 peniaga-peniaga kecil yang di sini mencari makan?

“Mereka hendak berniaga macama mana? Pasar ini dibuka kecil dan peniaga pun dikenakan syarat dan sebagaimana dalam syarat lesen itu mesti mengambil ‘pekerja tempatan’ dan itu kita setuju,” katanya kepada UMNO Online di sini.

Jelas Adly lagi, kebanyakan peniaga-peniaga di sini adalah rakyat Selangor, orang tempatan, orang Malaysia dan juga pengundi-pengundi di kawasan Petaling Jaya.

“Saya dan peguam sukarelawan UMNO bekerjasama dengan MCA Bahagian Petaling Jaya turun padang untuk mendengar suara rakyat dan menyuarakan suara mereka.

“Saya akan membantu mereka (peniaga) dari segi nasihat undang-undang untuk memastikan supaya mereka ini mendapat keadilan yang sewajarnya,” tegasnya.

Sementara itu, Setiausaha MCA Bahagian Petaling Jaya, Chew Hian Tat merasa hairan dengan kerajaan Negeri Selangor dan juga MBPJ yang mengenakan caj yang melampau kepada penjaja-penjaja ini.

“Kenapa naik… saja naik tanpa sebab? Bahkan bukan saja kenaikan sebanyak RM400 tetapi ada juga caj-caj yang lain seperti caj peti sejuk dikenakan bayaran sebanyak RM250, kalau dua peti sejuk dikenakan caj sebanyak RM500.

“MCA tidak boleh menerima prinsip mereka yang menaikkan kadar sewa dan memberikan tekanan kepada penjaja ini serta memberi masalah kepada penjaja sedangkan pada masa ini terkesan akibat pandemik COVID-19.

“Macam mana MBPJ boleh memberikan kepada kontraktor untuk perbaiki pasar ini sedangkan peniaga harus melakukan penjarakan satu meter, sepatutnya kena mencari tempat yang sesuai untuk peniaga memulakan perniagaan dan bukannya tempat dan keadaan macam ini.

“Saya harap pihak atasan berilah peluang kepada penjaja khususnya penjaja pasar di Jalan Othman ini,” tegasnya lagi. – UMNO Online

@www.umnoonline.my

Dapatkan berita terkini UMNO terus ke Whatsapp Anda! Ikuti     Whatsapp Channel UMNO Online sekarang.