SOP Ziarah Kubur, Kerajaan Tunggu Keputusan KKM Dan MKN – Ismail Sabri

PUTRAJAYA, 19 Mei – Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi aktiviti menziarahi kubur semasa Aidilfitri hanya akan dikeluarkan sekiranya Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) merasakan ada keperluan untuk berbuat demikian, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata buat masa ini KKM hanya menasihati orang ramai untuk tidak menziarahi kubur seperti kelaziman yang dibuat setiap kali hari raya bagi mengawal penularan wabak COVID-19 dalam komuniti.

“Saya tidak tahu sama ada akan dikeluarkan SOP atau tidak kerana tidak dibincangkan dalam mesyuarat tadi, tetapi seperti kita kata MKN dan KKM boleh sentiasa membincangkan kalau mereka boleh keluar SOP mungkin boleh maklum pada kita, tetapi setakat ini hanya nasihat,” katanya dalam sidang media harian perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan juga akan mendapatkan nasihat daripada KKM dan MKN sebelum mengeluarkan sesuatu SOP atau membenarkan sesuatu aktiviti dijalankan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), termasuk pembukaan premis perniagaan gunting rambut.

“Saya pun terima rayuan daripada pengusaha-pengusaha dan persatuan-persatuan gunting rambut supaya kalau boleh diberi kebenaran. Setakat ini (kerajaan) belum bincang lagi dan gunting rambut masih dalam senarai larangan,” katanya.

Ditanya mengenai cadangan untuk mengambil tindakan terhadap ibu bapa dan penjaga yang membawa kanak-kanak bawah 12 tahun ke tempat awam, Ismail Sabri berkata belum ada SOP atau peraturan di bawah Akta Pencegahan Dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) berkenaan perkara tersebut.

“Setakat ni tidak ada SOP,  tidak ada peraturan. Tapi setakat hari ini setiap hari pun, saya dan Ketua Pengarah Kesihatan (Datuk Dr Noor Hisham Abdullah) memberi nasihat, kita bincang tadi ada implikasi lain yang kita pertimbangkan, sebab tu kita tidak putuskan lagi.

“Sebagai contoh, ada ibu tunggal yang ada anak kecil, kalau mereka dihalang untuk bawa anak ke pusat beli-belah dan jika bawa mereka dikenakan kompaun, jadi di mana mereka nak tinggal anak.

“Kalau mereka bawa kena saman, kalau dikunci di rumah, jika berlaku sesuatu pada anak mereka, kalau mereka tinggal anak mereka dalam kereta takut ada kes kematian anak dalam kereta. Banyak pertimbangan yang kita perincikan tadi, beberapa isu, sebab itu tadi kita minta KKM dan MKN bincang dengan lebih mendalam, kita takut akhirnya nanti timbul isu baharu akibat daripada tindakan kita,” katanya.

Sementara itu, ditanya tentang SOP rumah ibadat yang dibentangkan Kementerian Perpaduan Negara hari ini, beliau berkata kerajaan belum mencapai persetujuan kerana ada beberapa perkara yang perlu diperhalusi.

“Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamed Sadique akan berjumpa semula dengan pemimpin-pemimpin agama lain, selain Islam, untuk memberikan cadangan balas yang dikemukakan dalam mesyuarat pagi tadi,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata kawalan kendiri pada setiap anggota masyarakat penting bagi memastikan rantaian penularan wabak COVID-19 dapat diputuskan.

Beliau berkata Pertubuhan Kesihatan Sedunia menjangkakan virus COVID-19 akan berada dalam masyarakat sehingga lima tahun atau sehingga vaksin bagi wabak itu ditemui, justeru itu mustahil untuk kerajaan terus menguatkuasakan PKP selama tempoh tersebut.

“Apabila PKP ditamatkan, SOP dan peraturan tidak boleh lagi dikenakan kepada rakyat, kawalan kendirilah yang melindungi kita. Kitalah yang perlu sedar apakah tindakan kita merbahaya atau tidak.

“Contoh, kalau bawa anak kecil ke pusat beli-belah itu mendatangkan bahaya, tak payah bawa anak kita ke pusat beli-belah,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri turut menafikan laporan yang menyatakan terdapat larangan rentas daerah pada musim perayaan ini seperti yang tular di media sosial semalam. BERNAMA

 

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit