Langkah Cegah Penularan COVID-19 Perlu Seiimbang Elak Darurat Ekonomi – Sultan Nazrin
IPOH, 12 Mei – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah hari ini bertitah meskipun usaha membendung penularan wabak COVID-19 secepat mungkin merupakan agenda paling utama, namun langkah-langkah pencegahan perlu seimbang bagi mengelakkan darurat ekonomi yang sukar dipulihkan kelak.
Baginda bertitah dunia terpaksa menanggung kos yang tinggi akibat daripada COVID-19 berikutan langkah-langkah yang perlu diambil termasuklah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh kerajaan Malaysia sejak 18 Mac lepas.
Titah baginda, ekonomi di seluruh dunia dijangka berdepan kejutan keluk bekalan dan permintaan serta ketidakseimbangan pasaran buruh yang bakal mengakibatkan berlakunya kemelesetan ekonomi amat teruk.
“Tabung Kewangan Antarabangsa mengunjurkan ekonomi dunia akan menguncup tiga peratus pada 2020, lebih buruk daripada penguncupan 0.7 peratus yang berlaku semasa krisis kewangan global pada 2009. Diramalkan, pasca pandemik, pemulihan ekonomi dunia mengalami kelembapan.
“Ketika sedang berdepan cabaran mengatasi COVID-19, Malaysia turut menghadapi tempias, kesan kejatuhan terbesar dalam tempoh tiga dekad harga minyak mentah dunia akibat berlakunya perang harga antara pengeluar utama minyak dunia,” demikian titah baginda ketika merasmikan Mesyuarat Pertama, Tahun ketiga, Dewan Undangan Negeri Perak ke-14 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Sultan Nazrin bertitah negara sedang melalui fasa yang sangat mencabar dengan rakyat terutamanya mereka yang berpendapatan rendah sedang memamah kepahitan hidup dan diramalkan 2.4 juta pekerja sedang menghadapi kemuraman, kemungkinan diberhentikan kerja.
“Mengaktifkan dan memulihkan aktiviti ekonomi agar kembali rancak pasca pandemik merupakan cabaran sangat besar, doa, harapan dan hasrat setiap rakyat. Satu harapan yang perlu disusuli dengan dasar, langkah, program dan tindakan bijak oleh penggubal dasar dengan meletakkan sasaran fiskal, monetari serta kewangan yang strategik,” titah baginda.
Baginda turut menarik perhatian dengan bertitah walaupun sekatan dilakukan di seluruh dunia termasuk PKP di negara ini yang menimbulkan pelbagai kerumitan, namun ia memberi kesan positif terhadap kualiti alam sekitar dengan penurunan gas rumah hijau, suhu serta air sungai yang semakin jernih.
“Bumi bagaikan berada dalam tempoh berehat dan pemulihan. Bermakna, dengan disiplin yang tinggi, kaedah pembuangan sisa yang terkawal, pencemaran alam dapat diminimumkan,” titah Sultan Perak.
Selain itu, baginda bertitah krisis yang sedang melanda telah mendedahkan hakikat bahawa negara masih belum mencapai status jaminan makanan sepenuhnya dan perkara itu wajib dijadikan agenda utama.
“Sektor pertanian terutama usaha pengeluaran makanan perlu dibangunkan secara saintifik dan lebih produktif, menggunakan teknologi dan peralatan moden serta dibangunkan oleh tenaga kerja muda yang dinamik, berpendidikan dan menguasai kemahiran pertanian terkini,” titah baginda. – BERNAMA