Pembekuan Akaun Bank UMNO : Malaysia Menuju Negara Autokratik?

KUALA LUMPUR, 29 Jun – Pergerakan Wanita UMNO mendesak supaya pembekuan akaun bank milik UMNO ditarik balik supaya parti ini dapat meneruskan aktiviti dan operasi tanpa halangan kerana UMNO bukanlah 1MDB.

Ketuanya, Datuk Dr Noraini Ahmad berkata demikian dengan membidas Pasukan Petugas Khas 1MDB yang wajib menjalankan tugas mereka dengan telus dan tidak dipengaruhi atau dipergunakan oleh mana-mana pihak yang berniat jahat mengganggu operasi UMNO.

“Sehingga bukti kukuh ditemui mengaitkan apa-apa salah laku 1MDB kepada UMNO, kerajaan Pakatan Harapan (PH) mesti memerintah dengan adil mengikut lunas-lunas demokrasi yang telah lama diamalkan sejak sekian lama. Jika tidak, Wanita UMNO gusar dan khuatir, Malaysia Baru di bawah PH hari ini menuju ke arah menjadi sebuah negara yang autokratik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam hal ini, beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Sulong merujuk kepada kenyataan media Pasukan Petugas Khas 1MDB berkenaan pembekuan akaun-akaun bank termasuk milik UMNO sebagai sebahagian proses siasatan berkenaan 1MDB.

“Wanita UMNO amat kesal dan mengecam sekeras-kerasnya tindakan Pasukan Petugas Khas 1MDB yang membekukan akaun bank milik UMNO dan mendesak supaya pembekuan itu ditarik balik.

“Sebagai pertubuhan yang berdaftar secara sah, UMNO telah membentang butiran kewangan UMNO yang kemudiannya diaudit, diterbit dan diluluskan setiap tahun di Perhimpunan Agung UMNO mengikut peraturan yang telah ditetapkan.

“Tindakan Kerajaan Pakatan ini seolah-olah menggambarkan UMNO yang sedang disiasat, bukannya 1MDB,” tegas beliau.

Selaras dengan itu, katanya, Wanita UMNO berpendirian tindakan ini telah mencabuli hak UMNO sebagai sebuah pertubuhan yang berdaftar secara sah untuk menjalankan aktiviti dan beroperasi dalam sebuah negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

“Pembekuan akaun bank UMNO ini juga seakan-akan sengaja dilakukan ke arah melumpuhkan UMNO dan untuk ‘membunuh’ parti UMNO secara perlahan-lahan kerana menyedari parti ini menguasai kerusi terbanyak selepas PRU-14.

“Ini kerana tindakan membekukan akaun UMNO sudah tentu akan menjadi penghalang bagi UMNO untuk menjalankan aktiviti parti yang bermatlamat untuk membantu dan membela rakyat.

“Apakah Kerajaan PH berniat untuk memberi tekanan kepada UMNO untuk berhenti menjalankan aktiviti dan seterusnya menyebabkan pemberhentian operasi UMNO?” bidas beliau lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit