Pilih Pemimpin Yang Mampu Menghidupkan UMNO – Zahid
JOHOR BAHRU, 28 Jun – Naib presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Zahid Hamidi menegaskan, perwakilan yang mengundi pada 30 Jun ini bukanlah untuk mencari presiden yang bakal perdana menteri, sebaliknya perwakilan perlu mencari pemimpin yang mampu untuk menghidupkan UMNO dalam keadaan parti yang sedang dilanda musibah hari ini.
Pemimpin yang dipilih kelak menurut Zahid, perlulah pemimpin yang mampu untuk menjadikan UMNO terus relevan di kalangan rakyat, khususnya orang Melayu di negara ini.
“Pada 30 Jun ini kita nak cari apa? Kita nak cari seorang presiden yang boleh menjadi Perdana Menteri? Belum lagi.
“Apa yang kita nak cari ialah seorang presiden UMNO yang boleh menghidupkan semula UMNO. Yang kita mahu cari ialah presiden UMNO yang boleh bekerjasama dengan timbalan untuk membantu presiden untuk terus merelevankan parti ini di mata rakyat.
“Kita kena pilih naib-naib presiden, ahli majlis tertinggi yang mampu untuk bekerjsama menimbulkan semula kapal UMNO yang hampir tenggelam ini,” tegasnya di hadapan perwakilan dalam program sesi pengenalan calon di Hotel M-Suite di sini hari ini.
Beliau seterusnya mengingatkan ahli-ahli UMNO bahawa rakyat tidak membenci UMNO sebaliknya sebilangan rakyat tidak suka kepada gelagat dan tindak tanduk sebahagian kepimpinan UMNO sebelum ini.
“Inilah yang kita kena perbaiki bersama-sama. Sekarang ini bukan masa untuk membahagikan harta rampasan, pemilihan ini juga bukan untuk merebut jawatan.
“Kita kena ambil iktibar dengan apa yang berlaku dalam perang uhud apabila umat Islam berebut-rebut harta rampasan sehingga menyebabkan tentera Islam kalah pada peperangan itu.
“Inilah yang berlaku di dalam UMNO sebelum ini. Kita berebut-berebut jawatan untuk mendapatkan habuan. Ada yang sanggup buat fitnah, sabotaj. Akhirnya UMNO kalah dan hanya menang dua negeri sahaja iaitu di Pahang dan Perlis,” ujarnya.
Zahid juga berkata, perwakilan perlu menolak pemimpin yang mengamalkan politik wang untuk mendapatkan jawatan pada kali ini.-MediaUMNO