13 ADUN BN Melaka Tarik Balik Kerjasama Dengan Dua Adun Bersatu
MELAKA, 5 Mac – Semua 13 Ahli Dewan Undangan Negeri Melaka (ADUN) daripada Barisan Nasional (BN) hari ini bertindak menarik balik kerjasama untuk membentuk kerajaan negeri dengan dua ADUN daripada Bersatu.
Pengerusi BN Melaka Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata justeru itu,13 ADUN BN berkenaan, semuanya daripada UMNO, akan bekerjasama dengan dua lagi ADUN iaitu ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis (PKR) serta ADUN Pengkalan Batu Datuk Norhizam Hassan Baktee (DAP) untuk membentuk kerajaan negeri.
“Dengan ini saya mengesahkan 13 ADUN BN bersama ADUN Rembia dan Pengkalan Batu membentuk gabungan baharu disokong dengan surat akuan bersumpah untuk dipersembahkan kepada Tuan Yang Terutama (Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Dr Mohd Khalil Yaakob).
“Tanpa menjejaskan kerjasama dan semangat Perikatan Nasional peringkat nasional, gabungan 13 ADUN (BN) dan dua ADUN Bersatu iaitu Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen (ADUN Paya Rumput) dan Datuk Noor Effendi Ahmad (ADUN Telok Mas) tidak lagi (berlaku) berkuatkuasa serta merta,” katanya pada sidang media di Ayer Keroh di sini, hari ini.
Pada Isnin lepas (2 Mac) dilaporkan Mohd Khalil telah mendapat representasi bahawa Ketua Menteri Adly Zahari tidak lagi mendapat kepercayaan sebilangan besar ADUN Melaka, sehubungan itu Mohd Khalil akan melantik seorang ADUN sebagai Ketua Menteri yang baharu dijadual esok, (6 Mac).
Ab Rauf menegaskan pemisahan kerjasama ADUN BN dan Bersatu itu hanya melibatkan kerjasama gabungan ADUN di negeri ini sahaja dan tidak berkait dengan gabungan kerjasama parti di peringkat nasional.
“Hanya kita memisahkan gabungan antara wakil rakyat ini, tanpa memisahkan gabungan parti Bersatu. Gabungan wakil rakyat 13 ADUN (BN) mewujudkan kerjasama dengan dua wakil rakyat lain bagi membentuk majoriti 15 orang akan bertemu Yang Dipertua Negeri Melaka dengan kadar segera,” katanya.
Beliau berkata pada pertemuan dengan Mohd Khalil nanti pihaknya akan menamakan seorang calon daripada 13 ADUN BN sebagai calon Ketua Menteri Melaka dan menegaskan semua keputusan diumumkan hari ini adalah dibuat hasil persepakatan BN peringkat negeri bukan di peringkat Persekutuan.
Ditanya adakah situasi itu terjadi akibat perebutan untuk menjadi Ketua Menteri Melaka, Ab Rauf berkata pihaknya secara terbuka menerima apa sahaja keputusan Mohd Khalil terhadap perkara itu tetapi malangnya kerjasama itu tidak mendapat ‘mutual understanding’.
“Kita berada dalam keadaan samar-samar sama ada kerjasama ini boleh berjalan atau tidak dengan tidak ada perbincangan, persefahaman atau mesyuarat. Ini mengatakan kita tidak punyai hala tuju sehingga kita menerima notis upacara mengangkat sumpah jawatan Ketua Menteri esok.
“Kita sudah hubungi dua wakil rakyat ini tetapi mereka tidak beri maklum balas. Kita bukan membantah kerjasama gabungan Perikatan Nasional tetapi membantah watak-watak dan tokoh-tokoh wakil rakyat Bersatu yang tidak memberikan penghormatan kepada kami,” katanya. – BERNAMA