Bukan Jawatan Jadi Kepentingan, Utamakan Survival Parti – Zahid

KUALA LUMPUR, 29 Jun –  Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr. Zahid Hamidi berkata, dalam pemilihan ini apa yang penting ialah bukan untuk berebut jawatan, tetapi apa yang penting ialah kelangsungan parti itu perlu diberi keutamaan.

Jelasnya, UMNO sebagai sebuah parti terbesar yang mewakili suara orang Melayu tidak mampu lagi untuk berpecah apatah lagi dalam keadaan UMNO kini sudah tidak lagi berada di gelanggang kekuasaan negara.

“Kita ketahui bahawa kapal UMNO itu telah tenggelam. Rumah agam UMNO  telah terbakar. Kita tidak harus berebut untuk mencuri tiang atau mencuri engin kapal tetapi kira harus bersama-sama untuk mengangkat kapal itu semula untuk timbul di permukaan bagi kita membawa kapal itu ketepi untuk kita perbaiki dan meneruskan pelayaran.

“Rumah kita yang terbakar itu jangan kita berebut mencari silap siapa yang membakar dan berebut untuk mengambil bumbung, lantai, papan dinding dan berebut mencabut tiang-tiang yang ada. Kita bukan lagi kerajaan. Kekuasaan berada di luar gelanggang kita.

“Maudhuk kita bukan jawatan. Maudhuk kita ialah bagaimana kita mahu meniupkan semula roh kita supaya UMNO itu terus hidup dan relevan di persada politik tanahair. Jangan pernah menuding jari. Jangan pernah membunuh perwatakkan pada pesaing-pesaing,” ujarnya kepada UMNO Online dalam satu temuramah eksklusif bersama beliau di Bangunan Dato Onn di sini hari ini.

Tegas Zahid,  ahli-ahli UMNO harus memberikan keutamaan kepada survival parti dan bukannya jawatan.

“Itulah sebabnya, insyaAllah jika saya terpilih, maka saya tidak akan meminggirkan calon-calon Presiden yang lain. Saya akan rangkumkan mereka bersama-sama saya untukmenghidupkan UMNO itu semula.

“Jangan pernah kita mahu jadi pembangkang selamanya. Kita harus bangkit semula menjadi kerajaan. Sebelum bangkit menjadi kerajaan kita harus ada formula. Bagaimana saf kepimpinan harus disatukan. Dengan semangat wahdatul fikr iaitu penyatuan pemikiran, sederapkan rentak perjalanan kita. Ketepikan perbezaan di kalangan kita.

“Jika kita tidak meraikan perbezaan, menyebabkan kita tidak akan bertemu dengan titik pertemuan dan yang akan kita temui adalah titik-titik perpecahan. Apa yang kita mahu hidang semula kepada ahli-ahli UMNO. Adakah sebuah parti yang berpecah, sebuah parti yang bersyak wasangka, sebuah parti yang tidak ada hala tuju. Apa yang kita mahu garapkan adalah kesatupaduan di antara ahli-ahli kita,” tegasnya.

Katanya lagi, ahli UMNO dan orang Melayu telah membayar harga yang terlalu mahal apabila orang Melayu telah berpecah-belah dalam politik kepartian, dan menegaskan bahawa parti ini tidak mampu lagi untuk terus berpecah sesama sendiri.

Tambahnya, UMNO harus ada DNA baru. DNA UMNO selama ini adalah DNA berkerajaan. DNA baru sementara UMNO mestilah DNA kepembangkangan.

“DNA kepembangkangan ini kita cipta bukanlah untuk terus menjadi pembangkang. Untuk kita mencabar minda dan tindakan kita untuk terus berada di barisan hadapan. Ini kerana kita mahu agar pisang tidak berbuah tiga kali. Ular tidak pernah mematuk di tempat yang sama dua kali.

“Kita mesti tukar sikap, gelagat dan pemikiran. Kenapa perlu kita bernostalgia. Kita pernah menang dalam PRU sebanyak 13 kali dan kita baru kalah hanya sekali. Jangan cipta kembali punca-punca kekalahan untuk masa akan datang.

“Kita kena bangkit sebagaimana bangkitnya parti-parti politik dunia yang pernah kecundang. Kita mesti belajar dari semangat mereka untuk bangkit. Tetapi untuk itu kita harus bersatu. Perkukuhkan saf kepimpinan kita. Ya, kita telah melunaskan keterbukaan sebagai dasar  dalam pemilihan. Kita tutup buku lama dan buka buku baru selepas 30 Jun ini.

“Kita kena bangkit, supaya orang Melayu juga bangkit semula. Tentukan 30 Jun sebagai tarikh keramat untuk parti ini bangkit semula,” akhiri beliau.-MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit