UMNO Mampu Bangkit.. Ini Bukan Kali Pertama UMNO Dilanda Ribut – Zahid

KOTA KINABALU, 28 Jun – Pemangku Presiden UMNO Datuk Seri Zahid Hamidi berkata, ini bukan kali pertama UMNO dilanda ribut.

Jelas beliau, UMNO pernah diharamkan dan kemudiannya ditubuhkan UMNO 2.0 maka tidak mustahil kini UMNO boleh diberi nafas baru dengan diwujudkan UMNO 3.0.

“Kita bentuk team baru yang komited untuk menuju masa depan yang lebih cemerlang.

“PRU-15 akan sampai… lima tahun tidak lama… saya cukup yakin kerajaan pusat dan di Sabah akan dibentuk semula oleh UMNO,” ujar beliau semasa berucap dalam majlis sambutan Hari Raya Aidil Fitri dan sesi pengenalan calon pemilihan parti di sini, Rabu.

Tambah Zahid, walaupun rumah UMNO kini dilanda ribut, dindingnya sudah pecah dan lantainya retak seribu tetapi sekiranya semua pihak bersatu dan penuh semangat maka sudah pasti rumah UMNO ini akan dibina semula dengan lebih kukuh dan jitu.

“Semangat inilah yang perlu diperlihatkan. Maka dalam masa terdekat ini kita akan bina semula rumah UMNO ini.

“Kita adalah pejuang dan sebgai pejuang kita tidak pernah rasa takut dalam apa keadaanpun. Orang selalu bertanya kepada saya, adakah UMNO mempunyai masa depan? Saya positif bahawa UMNO punya masa depan yang amat cerah,” katanya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit