Ugut Penjawat Awam : Tindakan Kerajaan PH Bertentangan Harapan Rakyat

KUALA LUMPUR, 23 Jun – Nampaknya Kerajaan Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad mula menunjukkan ciri-ciri diktatornya apabila Menteri-menteri Kabinetnya mula mengugut penjawat awam dengan pelbagai cara, sekali gus bertentangan dengan harapan rakyat yang mahu sebuah kerajaan yang bersih, kata Unit Komunikasi Strategik Ibu Pejabat UMNO.

Katanya, sungguh menyedihkan apabila ia sudah mula berlaku, dan rakyat patut menyedarinya dari sekarang.

“Belang sebenar PH kelihatan cukup jelas sekarang. Sama-sama kita doakan agar slogan mereka untuk membela rakyat akan diterjemahkan pelaksanaannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Timbalannya, Datin Seri Wan Azizah Ismail mengingatkan semua penjawat awam di seluruh negara agar menyokong kepimpinan PH atau kemungkinan dikenakan tindakan, termasuk buang kerja.

Ini diikuti oleh Datuk Seri Azmin Ali pula mengugut ketua dan pegawai agensi kerajaan yang disyaki melakukan salah laku agar meletak jawatan atau disingkir.

“Ini tidak pernah berlaku di zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang mengamalkan demokrasi berpolitik dalam kalangan penjawat awam.

“Hak menyokong mana-mana parti di luar BN amat dihormati, asalkan mereka bertugas mengikut aturkerja yang digariskan untuk mereka, iaitu berkhidmat kepada rakyat.

“Ini bertentangan dengan taktik ugutan PH kepada penjawat awam yang seramai 1.6 juta orang agar menyokong mereka, dan bukan menjadi ahli parti-parti lain.”

Soalnya, inikah bentuk demokrasi dan hak individu yang dilaung-laungkan oleh PH selama ini?

“Adakah selepas ini mereka akan mensyaratkan semua pemohon jawatan awam perlu disiasat latar belakang politik mereka sebelum diterima bekerja.

“Setelah ribuan kakitangan di bawah kerajaan dibuang kerja selepas PRU14 yang lalu, adakah mereka juga akan membuang hampir separuh kakitangan awam yang menyokong atau menjadi ahli parti lain, termasuk Umno.

“Adakah kakitangan berpakaian seragam seperti polis dan tentera yang mengundi BN pada PRU14 akan dikenakan tindakan disiplin dan buang kerja?”

Ujarnya, UMNO melihat perkembangan ini dengan penuh gusar kerana rakyat Malaysia yang berkhidmat dengan kerajaan tidak ada pilihan selain menjadi ahli PH agar ‘dapur mereka berasap’.

“Bagi yang ingin menyertai sektor awam pula akan dikenakan tapisan politik sebelum diambil bekerja. Ini lebih teruk dari sistem sosialis dan menjengkelkan.

“Apakah Azmin sebagai Menteri Hal-Ehwal Ekonomi akan terus mengugut penjawat awam, khususnya di agensi milik kerajaan, agar meletak jawatan beramai-ramai walaupun hanya disyaki salah laku?

“Mereka nampaknya diberikan dua pilihan – sama ada menyokong PH untuk kelangsungan hidup mereka atau meletak jawatan atas syak wasangka.”

Bidasnya, mungkinkah ini cara halus Dr Mahathir untuk mengecilkan perkhidmatan awam, serta menjimatkan kos kerajaan atau ini taktik ugutan bagi menakut-nakutkan rakyat, khasnya mereka yang mengundi BN?

“Adakah dalam tempoh 5 tahun akan datang PH menumpukan kepada tindakan mencari kelemahan silam, menghukum orang dan mewujudkan ‘political barrier’ untuk kakitangan awam?” soalnya lagi. – MediaUMNO

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit