Gagasan Muafakat Nasional Tawaran Baharu, Demi Masa Depan Rakyat Dan Negara – Presiden UMNO
KUALA LUMPUR, 6 Dis – Muafakat Nasional yang diilhamkan daripada Himpunan Penyatuan Ummah UMNO dan PAS serta dipersetujui oleh MCA, MIC dan semua pihak yang setia dengan Barisan Nasional (BN), adalah tawaran baharu kepada masa depan rakyat negara ini.
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata gagasan itu sudah mula diterima baik rakyat apabila ia menewaskan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor, baharu-baharu ini.
Ia turut menunjukkan betapa pengundi Melayu dan bukan Melayu mula berpaling semula kepada BN apabila PH mengecewakan mereka selepas 18 bulan memerintah negara.
“Untuk itu, UMNO sendiri perlukan pembaharuan dari segi perisian politiknya agar ia mengikut kehendak rakyat dan peredaran semasa.
“Politik Berimbang dan Ketahanan Politik adalah dua perkara yang akan ditekankan kali ini,” katanya ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden di Perhimpunan Agung 2019 UMNO di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, hari ini.
Dr Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, kuasa politik adalah jaminan kepada kelangsungan survival UMNO dan bangsa Melayu pada masa depan, tanpa mengenepikan kepentingan serta hak bangsa lain.
“Melayu adalah bangsa asal seluruh Nusantara. Tanpa kuasa politik, mereka akan dijajah dari segi pemikiran dan budaya.
“Kerana itulah Muafakat Nasional diwujudkan dan disokong oleh dua rakan setia UMNO dalam BN iaitu MCA dan MIC apabila mereka melihat sejuta potensi yang bakal wujud di dalamnya,” tambahnya lagi.
Dalam suasana politik hari ini, katanya, Melayu makin dihimpit manakala hak mereka terhakis sedikit demi sedikit.
“Walaupun kerajaan memberi jaminan tidak akan meminda Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak Melayu/Bumiputera, perbuatan sesetengah pihak di dalam PH mempersoal serta memprovokasi hak Melayu sudah mulai menjurus ke arah pindaan.
“Melayu makin kurang mendapat tempat di hati mereka. Kerajaan sendiri sedang menghadapi dilema apabila puak liberalis, anti-Melayu serta anti-Islam, golongan yang simpati dengan pengganas komunis dan puak sosialis yang makin kuat mengancam keamanan yang kita bina selama ini,” tegasnya lagi.
Bekas Timbalan Perdana Menteri itu juga berkata, Muafakat Nasional yang dimeterai piagamnya pada 14 September lalu adalah mercu tanda kebangkitan Melayu dalam mempertahankan hak serta kepentingan mereka.
“Tanpa mengira apa agama, kaum dan keturunan, rakyat di Semenanjung, Sabah dan Sarawak boleh menyertai gagasan baharu ini demi mewujudkan sebuah negara lebih progresif dan rakyat yang bersatu padu.
“Kita tidak perlu gusar dengan Muafakat Nasional kerana tidak seorang pun akan dipinggirkan. Malah, ia adalah dimensi baru politik yang bakal menjernihkan semula nama baik negara di mata dunia,” katanya.
Dalam pada itu, Zahid berkata UMNO tidak sekali-kali akan menggunakan pintu belakang untuk berunding dengan PH bagi membentuk kerajaan perpaduan atau bersatu.
“Pintu belakang yang terbuka luas bukan untuk UMNO memanfaatkannya. Ini cara tidak terhormat dan keji.
“Kita akan masuk menerusi pintu depan walaupun ada pihak yang baru-baru ini menggunakan pintu belakang dan membelakangi UMNO,” katanya.
UMNO menerusi BN dan PAS, ujarnya, lebih bersedia menghadapi pilihan raya umum ke-15.
“Berdasarkan rekod kemenangan kita di Cameron Highlands, Semenyih, Rantau dan Tanjung Piai, kita percaya bahawa rakyat ingin berpatah balik.
“Adalah sukar untuk kita meraih kemenangan tetapi lebih sukar pula untuk mempertahankannya,” ujarnya. – UMNO ONLINE