Perspektif Dan Pendapat Tidak Sama, Sumbangan UMNO Terlalu Banyak – Prof Ramlah Adam  

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Pakar Sejarah Datuk Dr Ramlah Adam berpandangan banyak perkara dan pelbagai dasar telah dilakukan oleh UMNO menerusi Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional (BN) sepanjang menerajui negara.

Justeru katanya sejarah berkenaan perlu ditulis untuk pengetahuan dan maklumat generasi yang akan datang dan ianya memerlukan dokumen yang jelas bagaimana peranan UMNO khususnya bersama rakan Perikatan dan BN itu sendiri dalam memainkan peranannya sebagai ‘protection’ kepada orang Melayu selama ini.

“Perspektif dan pendapat tidak sama mesti ada dokumen yang menyokong. Bagi saya banyak perkara sebenarnya untuk kita beritahu bahawa selama 72 tahun sebagai pemimpin orang Melayu dan sebagai pemimpin kerajaan, UMNO melalui perikatan dan juga BN telah membuat banyak perkara . Yang ini kita tidak boleh lupa. Sejarah itu tetap sejarah.

“Saya sampai sekarang setia dengan UMNO walaupun ramai profesor dah boikot dengan UMNO. Kerana apa…kerana saya sayangkan ilmu dan saya sayangkan peranan UMNO yang hari ini dihina, dikaji, dicaci. Saya sedih sebab saya tahu sumbangan UMNO terlalu banyak  antaranya pendidikan. Tidak perlu pergi jauh …beratus..beribu doktor yang dihasilkan daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB).

“Engineer…dulu profesion Melayu sangat rendah dua peratus…tiga peratus sangat rendah apabila dijalankan DEB dan ini satu perkara yang dijalankan oleh UMNO, BN, Tun Abdul Razak pada waktu itu. Selepas itu profesionalisme Melayu dalam semua bidang meningkat kepada 20 peratus, 25 peratus dan kalau setakat dapat universiti 100 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Wacana Ilmu yang bertajuk ‘UMNO Sebuah Perjuangan’ yang turut menampilkan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa, Exco Puteri UMNO, Dr Masliha Harun. Program tersebut dihoskan Ketua Unit Penyelidikan Penerangan UMNO Datuk  Dr Noor Azizan Majid.

Tambah Dr Ramlah lagi, semasa Tun Musa Hitam menjadi Menteri Pelajaran beliau telah melaksanakan kuota untuk kemasukan ke universiti  pada tahun 1970.

“Kalaulah UMNO sebagai kerajaan tidak menggunakan kuasa yang ada untuk memajukan pendidikan kepada orang Melayu, ingat hari ini boleh ke dalam setiap rumah paling kurang ada ‘graduate’…paling kurang…masa saya satu kampung seorang…saya seorang masuk universiti. Itu tahun 1970.

“Daripada 1970 sehinggalah kurun ke-20 apa yang UMNO tidak buat. Pendidikan sudah tentu dan biasiswa…lepas itu soal sistem kuota. Meritokrasi pada 2003…soal kuota tidak ada lagi dan pakai meritokrasi. Apa jadi hari ini…JPA sudah dipenuhi dengan orang-orang yang pandai bukan hanya satu kaum sahaja…semua kaum. Tetapi dulu UMNO ‘protect’ orang Melayu,” ujarnya.

Beliau turut memberikan contoh lain seperti penubuhan Majlis Amanah Rakyat (MARA) yang dahulunya dikenali sebagai Rural Industry Development Authority (RIDA).

“Kalau dalam sejarah MARA itu diwujudkan pada 1966 dengan Akta MARA yang dibuat menerusi Parlimen. Kenapa MARA…sebelum itu MARA dikenali sebagai RIDA. Dan RIDA ada Akta 1953 namanya Act Of Rural Industry Development Authority.

“Begitu juga Tabung Haji itu idea UMNO. Bila saya buat ‘masters’, saya jumpa fail yang menceritakan cadangan daripada Persatuan Melayu Pulau Pinang yang mencadangkan agar kita ada satu jawatankuasa atau Lembaga menguruskan kenaikan haji orang-orang Islam dan ditubuhkan Lembaga Tabung Haji dengan Ungku Aziz sebagai Pengerusi,” ujarnya. – UMNO Online

Dapatkan segala pautan dan media sosial UMNO di www.linktr.ee/umno #UMNOBangkit