PH ‘Halalkan’, ‘Restui’ Kewujudan Ideologi Pengganas Komunis?
KUALA LUMPUR, 2 Dis – Adakah kerajaan Pakatan Harapan (PH) cuba ‘menghalalkan’, ‘merestui’ kewujudan ideologi dan ‘mengiyakan’ sebarang acara keraian untuk mengenang pengganas komunis sebagai suatu perkara yang dibolehkan dalam Malaysia Baharu, soal Aktivis Muda Negeri Johor.
Tegas mereka, sesiapa sahaja tanpa mengira kaum dan agama wajar untuk mengambil pendirian bahawa pengganas komunis tidak boleh dikenang, dirai atau apa jua perkara cubaan untuk menghidupkan serpihan kumpulan ini.
“Dan ia mesti dihentikan kerana perjuangan komunis telah mati terbenam ketika Rundingan Damai Haadyai yang ditandatangani pada 2 Disember 1989.
“Belum reda kemarahan dan kekecewaan daripada waris, pejuang negara yang masih hidup dan seluruh rakyat yang mendapat berita bahawa abu Chin Peng, bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) di bawa pulang dan ditabur di Perak sebagai seorang pejuang, kini timbul satu lagi isu baharu melibatkan perhimpunan mereka yang berideologi komunis,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.
Aktivis Muda Negeri Johor memberi reaksi demikian mengulas mengenai tindakan kumpulan tertentu yang menganjurkan Sambutan Memperingati Ulang Tahun ke-30 Penandatangan Persetujuan Damai Haadyai, yang boleh dianggap sebagai satu cubaan provokasi untuk kembali membangkitkan kemarahan rakyat negara ini yang masih segar ingatan terhadap kekejaman zalim komunis di Tanah Melayu.
“Perhimpunan yang diadakan di Kolej New Era, Kajang melibatkan hampir 400 orang, antaranya bekas anggota PKM termasuk penglibatan pemimpin kerajaan jelas memperlihatkan kelonggaran tanpa batasan dalam era Malaysia Baharu hingga rakyat tertanya-tanya di mana pendirian dan ketegasan kerajaan dalam isu berkaitan komunis.
“Menghidupkan komunis ibarat melahirkan lebih ramai Chin Peng Baharu. Meraikan pengganas komunis ibarat meraikan darah-darah mereka yang terkorban.
“Percaya kepada komunis ibarat hilang kepercayaan kepada Tuhan sedangkan setiap daripada rakyat negara ini terikat dengan Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara iaitu Kepercayaan Kepada Tuhan,” bidas mereka lagi.
Jelas mereka lagi, sudah tentu parut dan luka semua kaum yang merasai kekejaman 14 hari PKM di Tanah Melayu tidak sama sekali boleh dilupakan apatah lagi hilang dari memori.
“Ia akan kekal diwariskan dari generasi ke generasi supaya kita semua menjadi rakyat yang tidak lupa diri dan mudah lupa.
“Setiap daripada kita perlu sedar dan beringat bahawa setiap kebebasan ada batasnya. Dan batas ini perlu dijaga dan dipelihara demi keharmonian dan kestabilan negara,” katanya. – UMNO ONLINE